Edited by FOTHER-MUCKER at 28-4-2026 07:09 PM
Warga emas maut kereta jatuh longkang di Klang
Shawaliah Hadir
27 April 2026
Orang ramai cuba membantu sebuah kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran Klang.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas berusia 60-an maut selepas kereta yang dipandunya di Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran, Klang, jatuh ke dalam longkang pukul 8.30 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey berkata, lelaki itu gagal mengawal kenderaan yang dipandunya ketika menghala ke Banting lalu melanggar struktur batu di bucu sebuah rumah di tepi jalan.
“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan mangsa terbalik secara mengiring di bahu longkang,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, orang awam kemudian cuba mengalihkan kenderaan tersebut, namun ia jatuh ke dalam longkang bersama mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya sambil mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serentak dengan kematian mengejut (SDR) .
Terdahulu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengesan satu video di media sosial yang memaparkan beberapa individu yang sedang memecahkan cermin dan menolak sebuah kenderaan berhubung satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Bukit Kerayong, Pandamaran Klang.
Jit Huey berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. “Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Syahid Salahudin di talian 011-35725557 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.-MalaysiaGazette
|