CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1535|Reply: 5

[Tempatan] Dari Selat Hormuz ke rumah kita: Impak krisis Asia Barat kepada pasaran hartanah

[Copy link]
Post time 26-4-2026 10:59 AM | Show all posts |Read mode





Dari Selat Hormuz ke rumah kita: Impak krisis Asia Barat kepada pasaran hartanahTumpuan semakin beralih kepada perumahan mampu milik yang mempunyai permintaan lebih stabil - NSTP/ROHANIS SHUKRI

Apabila ketegangan geopolitik memuncak ribuan kilometer jauhnya di Selat Hormuz, ada yang mungkin menganggap bahawa pasaran hartanah Malaysia akan tidak terkesan.

Lagipun, rumah dibina di lokasi tempatan, bukannya di Asia Barat atau berhampiran laluan bekalan minyak dunia.

Namun, realitinya tidak semudah itu. Selat Hormuz mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak global, dan sebarang gangguan di laluan strategik ini berisiko dan memang sudahpun mendorong harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 setong.

Kesan awal mungkin kelihatan jauh, namun gelombang impaknya sampai ke ekonomi domestik melalui inflasi, peningkatan kos dan perubahan sentimen.
Pada peringkat awal, kesan paling ketara adalah dari sudut psikologi pasaran.

Peningkatan harga minyak lazimnya menggugat keyakinan, menyebabkan pembeli dan pelabur menjadi lebih berhati-hati.
Hartanah sebagai komitmen kewangan jangka panjang sangat sensitif terhadap perubahan sentimen ini.

Sekiranya harga minyak kekal tinggi untuk tempoh berpanjangan, kesannya tidak lagi bersifat persepsi semata-mata, sebaliknya semakin nyata.

Kos bahan api yang meningkat akan merebak ke seluruh rantaian ekonomi, menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Di Malaysia, kenaikan harga diesel telah meningkatkan kos logistik dan pengangkutan, sekali gus memberi tekanan kepada perniagaan dan isi rumah.

Dalam keadaan ini, sikap berjimat dan berhati-hati dalam perbelanjaan serta pelaburan menjadi lebih dominan.
Namun begitu, Malaysia tidak berdepan situasi ini dari kedudukan yang rapuh. Ekonomi negara berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik, serta pemulihan sektor pelancongan.

Momentum ini dijangka berterusan ke tahun 2026 – mungkin lebih perlahan daripada jangkaan awal dengan perubahan global terbaharu ini - disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan.

Pada masa sama, inflasi kekal terkawal, sekitar 1.6 peratus bagi inflasi keseluruhan dan 2.3 peratus bagi inflasi teras pada awal 2026.
Angka-angka ini menunjukkan bahawa walaupun risiko luaran meningkat, asas ekonomi negara masih utuh dalam jangka terdekat.

Dalam konteks ini, krisis di Selat Hormuz tidak mengubah hala tuju ekonomi Malaysia secara mendadak, tetapi ia menambah unsur ketidaktentuan. Risiko akan meningkat sekiranya ketegangan berlarutan atau mula menjejaskan perdagangan global secara sistemik.

Namun, sistem kewangan yang stabil serta asas ekonomi yang berdaya tahan bertindak sebagai penampan penting. Bagi pasaran hartanah, kesannya lebih bersifat tidak langsung.

Tekanan inflasi berpotensi mempengaruhi kadar faedah dan kos pinjaman, seterusnya menjejaskan kemampuan memiliki rumah.
Walaupun inflasi secara keseluruhan masih terkawal, persepsi kos sara hidup yang meningkat sudah memadai untuk melemahkan sentimen.

Isi rumah mungkin menangguhkan keputusan membeli, manakala pelabur pula cenderung mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Kesan yang lebih ketara dapat dilihat pada sektor pembinaan. Diesel sebagai input utama mengalami peningkatan harga, dan menurut beberapa komentar pasaran, kos pembinaan berisiko meningkat antara 30 peratus hingga 40 peratus jika harga bahan api kekal tinggi.
Namun, kenaikan kos ini tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pembeli. Harga hartanah akhirnya ditentukan oleh kemampuan pasaran, bukannya kos semata-mata.

Dalam persekitaran di mana kemampuan semakin terhad, pemaju terpaksa menyerap sebahagian tekanan melalui pengurangan margin keuntungan dan langkah kawalan kos yang lebih ketat.

Penyesuaian ini berlaku dalam pelbagai bentuk. Pemaju mengoptimumkan reka bentuk, mengurangkan saiz unit, serta meningkatkan kecekapan kaedah pembinaan.

Tumpuan juga semakin beralih kepada perumahan mampu milik yang mempunyai permintaan lebih stabil. Pasaran dijangka tidak akan melihat lonjakan harga yang mendadak, sebaliknya menyaksikan pelarasan pada produk yang ditawarkan supaya selari dengan realiti ekonomi semasa.

Trend ini sejajar dengan pertumbuhan harga rumah yang semakin sederhana, sekitar 2.6 peratus setahun, yang sudahpun di bawah purata sejarah.

Dalam masa yang sama, isi rumah berdepan kos pinjaman yang lebih tinggi, syarat pembiayaan yang lebih ketat, serta tekanan kos sara hidup. Semua ini menjadikan kemampuan faktor penentu utama pergerakan harga.
Bagi pemaju, keadaan ini mengecilkan ruang keuntungan — kos meningkat, tetapi harga sukar dinaikkan.

Justeru, strategi pembangunan menjadi lebih berhati-hati, termasuk pelancaran projek secara berfasa, fokus kepada kawasan pinggir bandar dengan kos tanah yang lebih rendah, serta pembangunan berorientasikan transit yang menawarkan keseimbangan antara kemampuan dan aksesibiliti.

Di sebalik cabaran tersebut, wujud juga ruang peluang. Krisis ini berpotensi mempercepatkan peralihan ke arah pembangunan yang lebih mampan.

Kecekapan tenaga, pensijilan hijau dan reka bentuk yang lebih efisien kini semakin diberi keutamaan. Pada masa yang sama, pembangunan berorientasikan transit (TOD) dijangka terus berkembang, namun diharapkan bahawa keutamaan diberikan bagi segmen rumah TOD mampu-milik.

Sektor industri dan logistik, termasuk segmen pusat-pusat data yang dewasa ini kian berkembang, dijangka akan terus diberi fokus oleh pemain-pemain pasaran.

Secara keseluruhannya, krisis di Selat Hormuz tidak mencetuskan kejutan langsung kepada pasaran hartanah Malaysia, tetapi mempengaruhi melalui saluran ekonomi secara beransur-ansur.

Kos meningkat, sentimen menjadi lebih berhati-hati dan margin keuntungan tertekan, mendorong penyesuaian dalam strategi serta tingkah laku pasaran.

Apa yang berlaku adalah satu proses penyeimbangan semula, di mana pasaran hartanah menyesuaikan diri dengan set kekangan baharu dalam landskap ekonomi global yang semakin saling berkait.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-4-2026 12:09 PM | Show all posts
Melezia my seken home, bukan nak jual kat local sangat pun.
Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2026 12:55 PM | Show all posts
nnt..

harga hartanah seluruh dunia akan jatuh ke level 2008

tahun 2010 sampai 2015 : harga memuncak naik akibat seluruh dunia print duit banyak2



Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2026 02:00 PM | Show all posts
korang nak berantem lantak lah but why kacau kapal2 dagang lain nak lalu?
Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2026 11:15 PM | Show all posts
Syukurrrr...

Woke tak nak!
Pendatang asing tak nak
Kedai jual makanan asing tak nak
Foreigners/expats MMH2 tak nak
LGBTQ tak nak
Liberalism tak nak
Belajor bahasa Inggeris/Mandarin tak nak
Pergi universiti tak nak
SPM tak nak
Tanam sayur sendiri tak nak
Kedai..cukai judi tak nak
Konsert tak nak
Kemajuan tak nak...

Ambek ko... jerit la BMF/ Malaysians only... but then ujung2 telan rasuah, conglap duit itu yg nak sangat kan





Reply

Use magic Report

Post time 27-4-2026 12:30 PM | Show all posts
Masa ni la beli tanah. dan emas
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-7-2026 03:40 PM GMT+8 , Processed in 0.266650 second(s), 22 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list