Harga kondom, sarung tangan getah melonjak akibat perang di Asia Barat
Karex menghasilkan lebih lima bilion kondom setiap tahun - Gambar fail AFP KUALA LUMPUR: Harga produk berasaskan getah melonjak naik akibat gangguan rantaian bekalan yang berpunca daripada perang di Asia Barat, menurut pengeluar kondom terbesar dunia, Karex, serta pengeluar sarung tangan terkemuka, Top Glove.
Karex, yang membekalkan kondom untuk jenama seperti Trojan dan Durex, berkata ia terpaksa menaikkan harga sehingga 30 peratus, manakala pembekal global Top Glove menyatakan kos bahan utama bagi sarung tangan getah sintetik meningkat dua kali ganda.
Sebahagian besar industri getah Malaysia bergantung kepada minyak untuk menghasilkan produk, namun bekalan menjadi terhad sejak Iran melaksanakan penutupan secara de facto Selat Hormuz, laluan yang menyalurkan kira-kira satu perlima daripada minyak mentah dan gas asli cecair global ketika waktu aman.
Penutupan itu, yang bermula selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari, turut menjejaskan kos bahan mentah serta mengganggu perkapalan global.
"Kami terus mengalami tempoh penghantaran yang lebih panjang daripada pembekal, turun naik harga yang meningkat dan kos pengangkutan yang lebih tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Karex, Goh Miah Kiat.
"Sementara itu, kami juga menyimpan lebih banyak bahan mentah utama yang kritikal untuk operasi perniagaan, sekali gus memerlukan peningkatan kos sehingga 30 peratus," katanya kepada AFP menerusi e-mel.
Salah satu bahan mentah penting yang terjejas ialah minyak silikon, yang menurut Karex 'digunakan dalam setiap kondom'. Karex menghasilkan lebih lima bilion kondom setiap tahun, membantu mencegah kehamilan tidak dirancang dan penyakit jangkitan seksual di seluruh dunia.
Ia membekalkan kondom kepada organisasi seperti Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Harga produk lain Karex, daripada pelincir peribadi dan penutup probe hingga kateter serta pembungkusan aluminium foil, turut meningkat, kata Goh.
Kos terjejas 'secara menyeluruh', termasuk harga bahan kondom nitril lateks dan getah asli. Top Glove, salah satu pengeluar sarung tangan getah terkemuka dunia, berkata ia terjejas teruk oleh kenaikan mendadak harga getah nitril butadiena yang 'meningkat lebih 100 peratus, mencerminkan bekalan yang ketat'.
"Bagi sarung tangan getah asli, kos input meningkat kira-kira 30 peratus, kerana getah asli ialah komoditi dagangan yang dipengaruhi oleh trend kenaikan harga minyak mentah," tambah syarikat itu.
Top Glove membekalkan 95 bilion sarung tangan setiap tahun kepada lebih 2,000 pelanggan di seluruh dunia. Kedua-dua pengeluar berkata, bekalan produk utama mereka masih stabil.
"Namun, tempoh penghantaran kapal yang lebih panjang menyebabkan paras inventori di pihak pelanggan kami menjadi lebih rendah, dan beberapa pengeluar kondom menghadapi cabaran dalam pengeluaran," kata Goh. -AFP
|