Pegawai tentera mabuk rempuh kenderaan e-hailing, penumpang warga asing maut
Pegawai tentera memandu Ford Fiesta dalam keadaan mabuk merempuh Perodua Alza menyebabkan kematian penumpang warga Bangladesh di Lebuhraya MEX hala ke Jalan Tun Razak. FOTO ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Pegawai tentera ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing mengakibatkan seorang maut di Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, awal pagi hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 5.38 pagi membabitkan kemalangan sebuah Perodua Alza dan Ford Fiesta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu lelaki berusia 31 tahun yang juga pegawai tentera dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV e-hailing dipandu lelaki berusia 41 tahun.
"MPV itu membawa dua penumpang warga Bangladesh, masing-masing lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Akibat pelanggaran itu, penumpang lelaki yang duduk di barisan tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penumpang wanita warga Bangladesh cedera pada anggota badan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. "Pemandu MPV e-hailing turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta cedera ringan.
"Seorang lagi penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun dalam kereta Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama," katanya.
Mohd Zamzuri berkata, ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
Katanya, pemandu terbabit sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
|