Kelantan, Kerajaan Persekutuan perlu terus bekerjasama bangunkan negeri - Pemangku Raja Tengku Muhammad Fakhry Petra memeriksa perbarisan pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kota Darulniam. Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra mahu kerajaan Kelantan terus bekerjasama secara strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan berterusan di negeri itu.
Baginda bertitah keadaan infrastruktur di Kelantan masih memerlukan penambahbaikan agar tidak ketinggalan berbanding negeri lain.
Pada masa sama, baginda menghargai usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pelbagai dasar pembangunan dan inisiatif strategik yang turut memberi manfaat kepada Kelantan.
Justeru, baginda merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kerjasama strategik bersama kerajaan negeri yang sudah menyumbangkan kejayaan dalam pelaksanaan pelbagai pelbagai projek pembangunan di Kelantan.
Beta sukacita atas pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sudah siap dinaik taraf sepenuhnya.
Beta juga menzahirkan harapan agar kerjasama pihak Persekutuan dan negeri diteruskan dengan pelaksanaan projek Kota Bharu Sentral melalui integrasi pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai hab transit moden yang bakal menjadi pemangkin ekonomi setempat.
"Beta melihat keadaan infrastruktur di Kelantan masih perlu ditambah baik agar tidak ketinggalan berbanding negeri lain.
"Oleh itu, beta amat berharap kerajaan negeri mengambil berat terhadap perancangan dan pelaksanaan infrastruktur di negeri ini dengan pembabitan langsung Kerajaan Persekutuan," titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15, di sini, hari ini.
Baginda bertitah, pembangunan infrastruktur yang menyeluruh itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak perancangan pembangunan pada masa akan datang.
Selain itu, baginda juga mahu kerajaan negeri dan rakyat menumpukan usaha meningkatkan keupayaan ekonomi dan keharmonian sosial dalam menghadapi cabaran global.
Baginda bertitah, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara suasana yang aman dan harmoni dengan mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan.
"Dunia kini berhadapan dengan perubahan global yang semakin dinamik dan mencabar menyebabkan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa, perubahaan iklim serta ketegangan geopolitik antara kuasa besar.
"Ia memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, keterjaminan sumber makanan dan kos kehidupan di seluruh dunia. "Perkembangan ini turut memberikan implikasi kepada negara termasuk Kelantan," titah baginda.
Baginda turut menyeru kerajaan negeri agar terus mempergiat usaha menaik taraf kemudahan pelancongan serta memperluas promosi pelancongan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Sebagai sebuah negeri yang turut menampilkan keunikan gastronomi sebagai tarikan utama pelancongan, dalam konteks pengurusan makanan khususnya, beta menggesa pihak yang terbabit termasuk penyedia makanan perlu pastikan makanan dijual adalah halal, bersih dan harga berpatutan.
"Beta juga ingin menegaskan bahawa Kelantan perlu memantapkan sistem pendidikan yang holistik dan seimbang merangkumi pendidikan arus perdana, pendidikan agama serta kemahiran.
"Beta juga mengegsa kerajaan negeri agar mewujudkan platform sokongan khidmat psikologi, sokongan sosial dengan menyediakan taman rekreasi dan kemudahan sukan," titah baginda.
Baginda turut menaruh keyakinan bahawa melalui perpaduan, kerjasama dan komitmen semua pihak, negeri akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri makmur, sejahtera dan diberkati.
|