Upah RM15 setiap 'trip' seludup petrol ke Thailand Kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk berulang alik mengisi diesel sebelum diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram. Foto ihsan PGA/NSTP
TUMPAT: Taktik licik penyeludup yang melakukan pembelian petrol secara berulang dengan mengambil upah RM15 bagi setiap 'trip', selain menggunakan aplikasi khas untuk tujuan komunikasi kegiatan itu terbongkar selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Nibong, pagi semalam.
Tangkapan jam 9.50 pagi itu adalah tangkapan pertama PGA selepas agensi berkenaan ditugaskan mengawal sembilan stesen minyak di kawasan sempadan di Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata tangkapan membabitkan suspek berusia 32 tahun dilakukan Batalion 9 ketika pemantauan dilakukan di stesen minyak.
Beliau berkata, pihaknya mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero melakukan pembelian petrol secara berulang dalam tempoh satu jam.
Katanya, susulan pembelian berulang itu dikesan, pihaknya mengekori kenderaan terbabit sebelum menahannya di sekat pintas Pos Nibong. "Hasil pemeriksaan mendapati diesel dalam kenderaan berkenaan masih penuh dan suspek mengaku melakukan pembelian secara berulang di stesen minyak berkenaan.
"Suspek juga mengaku bekalan diesel hasil pengisian pertama sudah dihantar ke pangkalan haram Pok Su Roni dengan diisi dalam tong jerikin sebelum dibawa ke Thailand menggunakan perahu.
"Suspek juga mengaku terbabit dalam kegiatan penyeludupan petrol sejak tahun lalu selepas ditawarkan pekerjaan oleh abang iparnya dengan upah setiap 'trip' sekitar RM13 hingga RM15.
"Bekalan bahan api itu dipercayai diseludup ke Thailand menggunakan pangkalan haram sehingga tiga kali sehari, bergantung kepada permintaan daripada Thailand dan suspek juga menggunakan aplikasi Zalo sebagai cara perhubungan untuk kegiatan penyeludupan," katanya ketika dihubungi.
Ahmad Radzi berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya turut merampas 90 liter petrol dan merampas kenderaan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM30,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. "Ini adalah tangkapan pertama selepas PGA memantau sembilan stesen minyak di Kelantan yang berada dalam kawasan sempadan.
"Pemeriksaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan minyak petrol di sekitar kawasan tanggungjawab," katanya.
|