Warga Malaysia dikaitkan skandal tukar agama TCS Nashik di India Gambar hiasan. - Foto AGENSI
NASHIK: Siasatan terhadap skandal gangguan seksual dan paksaan menukar agama di Tata Consultancy Services (TCS) Nashik mendedahkan terdapat kaitan antarabangsa membabitkan seorang 'pendakwah' dari Malaysia, lapor pihak berkuasa India semalam.
Pasukan Siasatan Khas (SIT) yang mengendalikan kes itu menemui jejak digital yang merujuk kepada seorang lelaki dikenali sebagai 'Imran' yang berpangkalan di Malaysia, didakwa berperanan mempengaruhi mangsa menerusi rangkaian komunikasi dalam talian.
Pendedahan itu menyusuli tindakan polis India melancarkan operasi penyamaran membabitkan empat anggota polis wanita sebagai pekerja pembersihan di fasiliti itu bagi membongkar kegiatan jenayah yang dilaporkan berlaku di dalam premis berkenaan.
Setakat ini, sembilan Laporan Maklumat Pertama (FIR) telah difailkan oleh lapan wanita dan seorang lelaki, merangkumi tuduhan serius termasuk gangguan seksual, rogol atas alasan janji perkahwinan serta paksaan untuk bertukar agama.
Siasatan forensik ke atas peranti elektronik milik pengurus kanan sumber manusia yang ditahan menunjukkan terdapat 78 e-mel berkaitan aduan mangsa yang didakwa sengaja diabaikan oleh pihak pengurusan syarikat bagi menutup skandal itu.
Data daripada aplikasi WhatsApp yang dirampas mendedahkan terdapat bukti penyelarasan antara ketua pasukan untuk menyasarkan pekerja wanita yang dianggap mudah diperdaya dengan tawaran kenaikan pangkat atau peluang kerja di luar negara.
Individu dari Malaysia itu dipercayai terbabit dalam sesi panggilan video yang diatur oleh suspek utama, di mana mangsa diberikan tekanan mental dan dipujuk untuk mengikuti fahaman agama tertentu sebagai syarat kemajuan kerjaya.
Pihak polis turut menemui dokumen tawaran kontrak kerja palsu yang digunakan sebagai umpan untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka akan dipindahkan ke pejabat antarabangsa sekiranya menuruti kehendak kumpulan terbabit.
Jurucakap TCS dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa syarikat itu mengamalkan prinsip sifar tolak ansur terhadap sebarang salah laku dan telah menggantung tugas semua kakitangan yang dinamakan dalam siasatan polis itu serta-merta.
Pihak berkuasa Nashik kini sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan pusat untuk menentukan identiti sebenar individu di Malaysia itu dan melihat sejauh mana rangkaian itu telah menyusup ke dalam operasi syarikat di lokasi lain.
Perbicaraan kes dijangka terus mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai operasi rangkaian terbabit, yang menggunakan kedudukan korporat untuk melakukan eksploitasi seksual dan ideologi terhadap kakitangan bawahannya. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2026/04/1535068/warga-malaysia-dikaitkan-skandal-tukar-agama-tcs-nashik-di-india
|