Edited by FOTHER-MUCKER at 15-4-2026 09:05 AM
7 tahun kaut RM100 juta, sindiket pemalsuan dokumen ditumpaskanSuharmin Yusuf[email protected]

Putrajaya: Sindiket pemalsuan dokumen warga asing yang dianggarkan meraih keuntungan mencecah RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun beroperasi berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Serkap bermula kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membabitkan serbuan di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur berdasarkan hasil risikan berterusan selama enam enam bulan.
"Hasil serbuan ke atas enam lokasi, pasukan operasi telah menemui dokumen imigresen (e-pass dan pelekat keselamatan) yang telah diubah suai untuk digunakan oleh syarikat tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Antara barangan yang telah dirampas ialah 111 naskhah pasport pelbagai negara, 10 buah komputer riba, enam buah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,950.
"Seramai sembilan individu berumur antara 26 hingga 61 tahun telah ditahan dalam operasi yang terdiri daripada tiga lelaki warganegara Nepal, tiga lelaki India, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat," katanya pada sidang media khas Ops Serkap di Ibu Pejabat JIM, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, enam saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, katanya, satu pasukan khas diatur gerak semalam, ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat tinggal suspek utama di Jalan Galloway, Kuala Lumpur.
Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki oleh suspek utama yang disyaki cuba melarikan diri, dan suspek berjaya ditahan.
Suspek utama yang ditahan seorang lelaki warganegara Nepal berumur 43 tahun. Siasatan mendapati suspek pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada tahun 2016," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket ini beroperasi sejak tahun 2019 hingga 2026, iaitu kira-kira tujuh tahun. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih diteruskan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta anggaran keuntungan yang diperoleh yang dianggarkan mencecah sekitar RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun.
Kes ini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta lain-lain undang-undang yang berkaitan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
JIM ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, khususnya yang melibatkan pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Orang awam juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini," katanya.
Disiarkan pada: April 15, 2026 @ 5:35am
|