JPN tahan 46 warga asing bekerja guna MyKad orang lain, palsu Sebahagian 46 individu warga asing yang menggunakan MyKad milik orang lain dan palsu untuk bekerja di sebuah kilang motosikal ditahan menerusi Ops Roda JPN Putrajaya di Klang hari ini - Foto NSTP/Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
KLANG: Seramai 46 warga asing, sebahagian besar warga Indonesia dan Filipina ditahan kerana menggunakan MyKad milik orang lain dan palsu dalam operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.
Mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun mengaku melakukan kesalahan itu dalam, Ops Roda JPN di sebuah kilang motosikal di Kawasan Perindustrian Bukit Raja di sini.
Antara yang ditahan seorang wanita warga Indonesia dikenali dengan Faizah, 23, yang mengakui menggunakan MyKad milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan di kilang berkenaan.
"Saya minta kerja guna IC kawan kepada sepupu sebab muka kami lebih kurang sama, saya kerja di sini lebih kurang enam bulan, sebelum itu bekerja dengan taukeh sarang burung.
"Pada mulanya saya masuk Malaysia pada 2023 untuk makan angin, tetapi bila dapat peluang bekerja di negara ini saya teruskan sahaja sampai sekarang," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui hari ini.
Asman, 21, pula berkata dia menggunakan MyKad palsu yang dibeli daripada seorang kenalan dengan harga RM500 yang kemudian digunakan untuk mencari pekerjaan secara haram di Malaysia.
Pemuda itu memberi alasan terpaksa menggunakan cara itu bagi mendapatkan kerja untuk menyara kehidupan dan paling utama mengelak ditahan pihak berkuasa namun tembelangnya pecah jua.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN, Mazhad Abdul Aziz berkata kecuaian pihak majikan yang tidak membuat pengesahan dengan teliti dengan pihak pembekal tenaga buruh antara punca perkara itu berlaku.
"Ada yang mengaku meminjam kad pengenalan orang lain semata-mata untuk memohon kerja. Selepas berjaya mendapat kerja, mereka pulangkan semula kad tersebut kepada pemilik asal.
"Majikan pula mungkin terlepas pandang atau terlalu percaya kepada ejen sehingga tidak menyemak sama ada gambar di kad itu sepadan dengan orangnya atau tidak.
"Pihak kilang mendakwa mereka tidak mengambil pekerja asing, tetapi ejen yang membekalkan mereka (pekerja) ini," katanya kepada pemberita selepas serbuan.
Menurutnya, pihak kilang mendakwa polisi mereka tidak menggajikan buruh asing dan majoriti tangkapan dalam operasi itu membabitkan pekerja dibekalkan oleh syarikat atau ejen membekal sumber manusia.
Katanya, kesemua tangkapan di tahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. "Kita juga akan menjalankan siasatan terhadap ejen-ejen yang membekalkan pekerja ini.
"Untuk tindakan terhadap majikan, itu kita serahkan kepada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Imigresen mengikut bidang kuasa mereka," katanya.
|