11 warga Indonesia ditahan kes samun berkumpulan guna senjata GEORGETOWN: Polis memberkas 11 warga Indonesia termasuk dua wanita, semalam dan hari ini, kerana disyaki terbabit kes samun bersenjata di rumah kongsi sekitar negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata semua suspek terbabit ditahan melalui Ops Rantau Kongsi di beberapa lokasi sekitar Chemor, Perak, dan Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini, hasil risikan serta intipan yang dijalankan.
"Dalam siri serbuan itu, polis menahan sembilan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 38 tahun, dan merampas barangan dipercayai milik mangsa meliputi barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai berjumlah RM2,770.
"Polis turut merampas senjata termasuk parang, pisau dan pengikat kabel dipercayai digunakan kumpulan itu untuk melakukan kegiatan samun bersenjata," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi suspek dipercayai menyasarkan warga asing tinggal di rumah kongsi di tapak pembinaan, selain menyamun dengan bersenjatakan parang, memakai topeng muka dan mengikat tangan serta kaki mangsa menggunakan pengikat kabel.
Susulan penangkapan itu, katanya, polis juga percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun berkumpulan dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.30 pagi semalam di Seberang Perai Selatan (SPS) membabitkan kerugian barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai dengan nilai berjumlah RM35,000.
Secara keseluruhan, Azizee berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan lima kes samun berkumpulan membabitkan satu di Seberang Perai Utara dan masing-masing dua di SPT serta SPS susulan penahanan 11 individu terbabit.
"Hasil semakan rekod mendapati hanya seorang daripada suspek terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan imigresen, manakala yang lain tiada rekod jenayah," katanya.
Beliau berkata, semua suspek berkenaan kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
|