Pelajar Tingkatan Satu maut dilanggar dalam kawasan sekolah Seorang pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kawasan sekolah di sini, tengahari tadi - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kawasan sekolah di sini, tengahari tadi.
Dalam kejadian jam 1.30 tengahari berkenaan, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang memakai kasut selepas selesai solat Zohor secara berjemaah sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda.
Bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada empat beradik dan dua anaknya bersekolah di sekolah yang sama.
Katanya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi adik iparnya sambil menangis dan meminta dia ke sekolah berkenaan. "Saya terus ke sekolah berkenaan dan ketika itu melihat anak saya sudah terbaring kaku dan ditempatkan di surau. Saya sangat terkejut dan tergamam melihat keadaan anak sudah meninggal dunia.
"Pihak sekolah juga memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia. Namun saya tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian lanjut menimpa anak saya.
"Arwah adalah anak ketiga dan kesemua anak tinggal bersama dengan adik ipar selepas kematian isteri saya sejak lima tahun lalu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak kematian isteri, dia akan berjumpa dengan anaknya dua kali seminggu di rumah adik iparnya.
"Jenazah anak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas selesai bedah siasat," katanya. Ibu saudara mangsa, Zuraifah Mohd Noor, 43, berkata ketika kejadian dia berada di luar perkarangan sekolah untuk mengambil mangsa dari sekolah.
"Namun saya pelik apabila Fatimatul Hawa tidak keluar berbanding kebiasaan dia akan keluar lebih awal. "Tiba-tiba anak saudara saya berusia 15 tahun yang bersekolah di sekolah sama berlari ke arah saya memaklumkan adiknya sudah tiada. "Saya kemudiannya terus bergegas menghala ke surau dan ketika itu jasad anak buah saya sudah ditutup dengan kain," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan nanti.
|