Ditahan rentas Sungai Golok guna pangkalan haram: 'Selepas ini, pelajar berkenaan terpaksalah berkorban...' Keratan berita disiarkan BH Online
RANTAU PANJANG: Kesemua 34 pelajar yang ditahan selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk ke sekolah di sini, pagi tadi, adalah warga Malaysia yang tidak dapat bersekolah di Thailand kerana tiada dokumen pengenalan diri negara itu.
Menurut sumber, pelajar terbabit menetap di kawasan Sungai Golok, Thailand, berikutan seorang daripada ibu bapa mereka adalah warga negara jiran berkenaan.
Katanya, pelajar berkenaan merentas sempadan melalui pangkalan haram dengan menaiki bot kerana rumah mereka hanya terletak bersebelahan Sungai Golok.
"Sebelum ini, ada pelajar terbabit bersama keluarga mereka menyewa rumah di Rantau Panjang selepas pendekatan yang diumumkan kerajaan pada Disember 2024.
"Namun, akibat kekangan kewangan kerana kebanyakan ibu bapa itu hanya bekerja kampung, mereka tidak mampu untuk terus menyewa rumah. "Pada masa sama, asrama pula hanya untuk pelajar sekolah menengah dan terhad," katanya ketika ditemui, di sini.
Terdahulu, media melaporkan seramai 34 pelajar dari Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk ke sekolah di sini, hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, dipetik berkata semua pelajar termasuk 12 perempuan berusia tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi.
Ahmad Radzi berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, dan kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, sumber terbabit berkata, mereka adalah pelajar di dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah sekitar Rantau Panjang. Katanya, difahamkan penahanan itu adalah kali pertama membabitkan pelajar sekolah.
"Selepas ini, pelajar berkenaan terpaksalah berkorban menggunakan laluan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk ke sekolah.
"Laluan itu lebih jauh dan membabitkan kos pengangkutan, selain ibu atau bapa perlu mengiringi mereka untuk berurusan di ICQS kerana membabitkan kanak-kanak bawah umur," katanya.
|