Edited by FOTHER-MUCKER at 10-4-2026 01:15 AM
`Ulat’ teksi KLIA tawar RM110 ke Kuchai Lama ditahan JPJ
drag images to upload
9 April 2026
Kereta yang didakwa dijadikan `ulat' teksi di KLIA disita untuk siasatan lanjut. - Foto JPJ Selangor
SEPANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang individu disyaki ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen di Terminal 2, KLIA.
JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tangkapan dibuat hasil intipan dan pemantauan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA terhadap kegiatan berkenaan.
Ujarnya, susulan operasi itu, sebuah kenderaan jenis Nissan Latio bersama pemandunya turut ditahan dan disita untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek memujuk serta menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warga Indonesia dari Terminal 2 KLIA ke Jalan Kuchai Lama dengan kadar tambang RM110,” menurut kenyataan JPJ Selangor di Facebook.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ujarnya, individu yang bersubahat juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 243(1) akta sama. “JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter rasmi di KLIA atau aplikasi e-hailing,” katanya. – MalaysiaGazette
|