CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 1486|Reply: 0

[Tempatan] Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Pendakwaan akan buktikan bapa tanam ideologi pengganas kepada suspek

[Copy link]
Post time 8-4-2026 04:29 PM | Show all posts |Read mode


Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Pendakwaan akan buktikan bapa tanam ideologi pengganas kepada suspekFoto hiasan.


Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan akan membuktikan bapa suspek dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor dua tahun lalu, menanam ideologi pengganas kepada anak lelakinya itu sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, berkata pasukan pendakwaan akan membuktikan tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Tassin, 64, menanam ideologi itu kepada Radin Luqman, 21, yang melepaskan tembakan di Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.54 pagi 17 Mei 2024.

Menurutnya, kejadian berkenaan menyebabkan kematian dua anggota polis yang bertugas di balai polis berkenaan serta kecederaan dua anggota lain.

"Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh pertama bukan sahaja mengasingkan keluarganya daripada masyarakat, malah menanam fahaman ideologi keganasan secara berterusan sejak 2014 sehingga penahanan mereka pada 17 Mei 2024.

"Penanaman ideologi itu turut membabitkan isteri dan anak-anaknya, termasuk Radin Luqman yang kemudian bertindak melepaskan tembakan di Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengorbankan dua anggota polis serta mencederakan dua lagi," katanya pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis di rumah keluarga itu di Kampung Sungai Tiram di Johor Bahru turut menemukan pelbagai bahan yang mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.

Menurutnya, antara yang dirampas termasuk empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri, buku berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS) serta satu cakera keras mengandungi bahan berunsur keganasan.

"Selain itu, terdapat juga tulisan dan lakaran pada dinding rumah yang menunjukkan wujudnya penanaman ideologi pengganas dalam kalangan ahli keluarga berkenaan.

"Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan pakar, keterangan langsung dan keterangan ikut keadaan bagi membuktikan semua pertuduhan terhadap tertuduh-tertuduh," katanya.

Tambahnya, pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa Radin Imran dan anak lelakinya yang juga tertuduh kedua, Radin Romyullah, 36, memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS termasuk berbai'ah kepada pemimpinnya, Abu Bakar Al-Baghdadi sekitar penghujung 2014.

Pada masa sama, katanya, tertuduh ketiga (isteri Radin Imran), Rosna Jantan, 61, serta anak perempuannya, Mariah, 21, dan Sobrina, 25, pula didakwa gagal melaporkan aktiviti berkenaan walaupun mempunyai sebab untuk mempercayai kesalahan itu telah dilakukan.

"Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan pakar bagi membuktikan bahawa kandungan buku bertajuk 'Hakikat Islam & Hakikat Syirik' oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang dirampas daripada tertuduh pertama dan cakera keras yang dirampas daripada tertuduh kedua adalah berkait dengan kumpulan pengganas IS.

"IS sudah diwartakan sebagai kumpulan pengganas menurut Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2014," katanya.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden terbabit.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-7-2026 06:28 PM GMT+8 , Processed in 0.906155 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list