Penumpang jatuh atas landasan LRT di Stesen Abdullah Hukum, operasi tren dihentikan
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi - April 3, 2026 @ 7:42pm
facebook sharing buttonwhatsapp sharing buttontwitter sharing button
Tangkap layar beberapa video tular di aplikasi Thread.
KUALA LUMPUR: Seorang penumpang dilaporkan terjatuh di kawasan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Abdullah Hukum, di sini petang tadi.
Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku kira-kira jam 6.09 petang ketika tren Rapid KL sedang menghampiri platform, sebelum seorang wanita terjatuh ke bawah tren.
Rapid Rail Sdn Bhd mengesahkan kejadian itu dengan operasi tren terpaksa dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menyelamat.
Menurutnya, bekalan kuasa di stesen berkenaan turut dinyahaktifkan sebagai langkah keselamatan, selain membolehkan pasukan polis, bomba dan ambulans menjalankan operasi di lokasi.
"Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum dihentikan sementara waktu.
"Perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara percuma turut diaktifkan bagi membantu pergerakan penumpang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa diselamatkan bomba
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Wan Mohd Shahrir AziziWan Said, berkata pihaknya berjaya mengeluarkan wanita berusia 39 tahun itu yang tersepit di bawah tren LRT.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi jam 6.19 berkaitan mangsa tersepit, sebelum pasukan dari balai jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan sembilan anggota.
"Mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan muka. Mangsa dikeluarkan jam 6.38 petang dan diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur," katanya melalui kenyataan hari ini.
Sejurus operasi menyelamat selesai perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa.
|