Edited by FOTHER-MUCKER at 29-3-2026 08:07 PM
Kaji semula hukuman mati terhadap pemandu mabuk sebabkan kematian - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji semula pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian. Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata blok pembangkang memandang serius insiden tragis di Klang semalam yang meragut nyawa penunggang motosikal akibat perbuatan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Beliau menegaskan, kejadian itu bukan sekadar satu kemalangan tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang seharusnya dianggap sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.
"Ternyata, hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi. "Insiden seumpama ini terus berulang, membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan.
"Sehubungan itu, blok pembangkang mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan perlu segera meminda undang-undang sedia ada, termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluas kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, individu yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk seharusnya dianggap mempunyai niat membunuh kerana tindakannya nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.
"Ini bukan soal menghukum semata-mata tetapi sebagai satu mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.
"Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan," katanya.
Semalam, penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu Honda City dipercayai memandu laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.
Mangsa tercampak ke atas Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah. Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
|