Kes pemandu mabuk: Hukuman penjara tidak cukup, waris mangsa perlu dapat pampasan Keratan berita siaran BH Online.KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar, menegaskan hukuman penjara terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian tidak mampu menampung kehidupan keluarga, anak yatim dan isteri mangsa yang hilang punca nafkah.
Sehubungan itu, beliau menggesa undang-undang sedia ada perlu diperkasa agar pampasan dapat disalurkan kepada waris mangsa dengan segera tanpa membebankan mereka.
"Undang-undang perlu diperkasakan agar pampasan (diyat) sampai kepada waris dengan cepat tanpa membebankan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu Honda City dipercayai memandu laju, memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa. Mangsa tercampak ke atas Perodua Myvi dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah. Suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
|