Bekas ahli politik pula serang, buat ugutan di rumah Cikgu Chandra Bekas ahli politik yang juga pempengaruh media sosial melakukan provokasi dan mengugut aktivis S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra di kediamannya di Taman Kinrara, Puchong. - Foto ihsan Cikgu Chandra
SERDANG: Kediaman aktivis, S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra sekali lagi diserang dan menerima ugutan daripada seorang bekas ahli politik yang juga pempengaruh media sosial pagi ini.
Cikgu Chandra berkata, kejadian berlaku jam 8.15 pagi tadi apabila lelaki itu bersama beberapa individu lain datang ke rumahnya dan membuat ugutan.
"Kejadian berlaku hampir setengah jam apabila mereka bertindak agresif dan melakukan provokasi. "Bagaimanapun, keadaan terkawal kerana polis pun menjaga kawasan perumahan saya bagi mengelak insiden tidak diingini terjadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media semalam melaporkan, Cikgu Chandra tetap akan tinggal di kediamannya dan tidak akan berpindah.
Polis turut membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan Cikgu Chandra di perumahan Taman Kinrara, Puchong di sini, pada 9 Mac lalu dan kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, dilaporkan berkata, bagi insiden pertama siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta ugutan jenayah.
Bagi insiden kedua pula, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung kejadian khianat dengan api yang membabitkan kenderaan di lokasi sama.
|