Edited by FOTHER-MUCKER at 7-3-2026 11:26 AM
6 individu ada kaitan IS, disyaki guna media sosial bincang aktiviti keganasan - KPN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (tengah) pada sidang media Bukit Aman, hari ini.- Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Enam individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas 'Islamic State' (IS) dipercayai menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan sebagai medium perhubungan untuk membincangkan aktiviti berkaitan keganasan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan mendapati suspek berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dan mempunyai hubungan dengan individu di negara jiran.
Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi menentukan tahap pembabitan mereka dalam rangkaian berkenaan. "Perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu dipercayai menyentuh idea ekstremisme termasuk kemungkinan serangan terhadap anggota polis dan rumah ibadat.
"Siasatan awal oleh Cawangan Khas mendapati kumpulan ini aktif kira-kira setahun," katanya pada sidang media Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mohd Khalid berkata hasil siasatan turut mendapati suspek pada awalnya terdedah kepada naratif ekstremisme melalui media sosial arus perdana sebelum beralih kepada kumpulan pesanan tertutup seperti WhatsApp dan Telegram.
Beliau berkata beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan masih bebas dan sedang dikesan pihak berkuasa.
"Individu berkenaan dipercayai berusia antara 30 hingga 40 tahun dan mungkin mempunyai hubungan dengan rangkaian itu. Kita memerlukan masa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjejaki mereka," katanya.
Mohd Khalid berkata, pihaknya juga sedang meneliti sama ada pendedahan kepada kandungan media sosial dan permainan dalam talian secara berlebihan turut mempengaruhi proses radikalisasi suspek.
Beliau berkata serangan di Ulu Tiram sebelum ini menjadi contoh bagaimana proses indoktrinasi dalam talian boleh membentuk pemikiran seseorang secara berperingkat sehingga mendorong tindakan bersifat 'lone wolf'.
Katanya, pemantauan Cawangan Khas sejak 2024 turut mengesan cubaan elemen militan merekrut remaja melalui platform dalam talian.
"Kumpulan ini cuba mempengaruhi golongan muda yang mudah terobsesi dengan isu tular di media sosial. Dalam sesetengah kes, terdapat juga kekurangan pemantauan daripada ibu bapa," katanya.
Mohd Khalid berkata, suspek dipercayai dipengaruhi naratif konflik geopolitik di Asia Barat yang tersebar dalam talian serta perbincangan menggambarkan sesetengah negara sebagai tidak Islamik.
Katanya, siasatan turut mendapati sebahagian suspek menyertai atau menubuhkan kumpulan pro-IS di platform pesanan seperti WhatsApp, Telegram dan Discord.
"Pendedahan berterusan kepada kandungan negatif atau ekstrem di platform digital, jika tidak ditangani lebih awal, boleh mempengaruhi emosi dan tingkah laku sehingga membawa kepada tindakan agresif yang mengancam keselamatan awam," katanya. Mohd Khalid menegaskan polis sentiasa berwaspada dan bersedia sepenuhnya untuk memastikan keselamatan negara daripada sebarang ancaman keganasan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
"Semua tindakan yang diambil polis adalah berdasarkan analisis terperinci dan mengikut peruntukan undang-undang. Keadaan keselamatan negara kekal terkawal," katanya.
|