Kuala Kedah: "Wang tunai RM35,000 yang saya simpan untuk pusingan modal beli barang di kedai runcit ini hangus dan tak sempat diselamatkan.
"Semua wang itu saya simpan di dalam plastik dan ikat pada rak baju tetapi semuanya sudah terbakar, " kata Sadrah Ismail, 59.
Sadrah adalah pemilik rumah dan kedai runcit yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kilang Baja, Kampung Masjid Lama di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 8 malam itu, Sadrah dan suaminya, Bashirul Abdul, 62, dan anak bongsu, Ahmad Adib Bashirul, 27, berada di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.
"Masa itu saya baru selesai solat Maghrib sebelum terhidu bau asap yang kuat dari tingkat atas.
"Saya cuba naik ke tingkat atas nak tengok apa berlaku tapi tak berani sebab asap tebal dan bunyi benda meletup menyebabkan kami tiga beranak terus keluar menyelamatkan diri, " katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.
Menurut Sadrah, dia kemudian menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan sebelum mendapati rumah kakaknya di bahagian belakang turut musnah terbakar.
Katanya, barangan kemas miliknya juga turut terbakar dalam kejadian itu.
"Tekanan air kat sini kurang, mungkin kalau air banyak, rumah kakak dapat diselamatkan tetapi api merebak dengan cepat.
"Bagaimanapun, saya reda walaupun rumah dan kedai runcit yang diusahakan sejak 25 tahun lalu musnah, namun bersyukur kerana kami tiga beranak terselamat walaupun tinggal sehelai sepinggang, " katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah kedai runcit dan api berjaya dikawal pada 9.30 malam.