Edited by sfhzuraz at 27-1-2026 10:16 PM
Kawasan tapak pelupusan sisa pepejal di Padang Cina, Kulim terbakar
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 27, 2026 @ 8:37pm

Asap tebal memenuhi tapak pelupusan sisa pepejal, Padang Cina, Kulim. - Foto NSTP/IHSAN JAS
ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesahkan menerima maklumat berkenaan kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal, Padang Cina, Kulim.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kebakaran adalah berlaku di kawasan sel 1 dan sel 2 di tapak pelupusan terbabit.
Beliau berkata, pemadaman dilakukan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hi-Tech dengan dibantu oleh oleh pasukan BBP Alor Setar dan Sungai Petani . "Agensi lain yang turut serta di lapangan adalah Majlis Perbandaran Kulim, SW Corp, Pejabat Kesihatan Daerah Kulim dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kerja-kerja pemadaman masih diteruskan di tapak pelupusan ini.
"JAS Kedah turut menjalankan pemantauan udara menggunakan dron dan memasang alat pengukuran gas bagi memantau tahap kualiti udara di sekitar tapak pelupusan dan impaknya ke kawasan sensitif terdekat seperti kawasan perumahan dan sekolah," katanya.
Sharifah Zakiah berkata, buat masa ini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi stesen pengawasan kualiti udara terdekat di Stesen Kulim Hi-Tech mencatatkan bacaan 60 iaitu dalam kategori sederhana.
Beliau berkata, JAS Kedah juga menjalankan pemantauan menggunakan peralatan meter gas bagi mengesan sekiranya terdapat kehadiran gas-gas pencemar lain.
"Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan menjauhi kawasan ini.
"Selain pemantauan kualiti udara, JAS Kedah akan meneruskan siasatan di bawah Seksyen 29A (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1502241/kawasan-tapak-pelupusan-sisa-pepejal-di-padang-cina-kulim-terbakar
|