|
Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, 44, menasihatkan mana-mana pencipta lagu yang ingin mencipta nama perlu benar-benar serius menjadikan muzik sebagai kerjaya.
Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, dia tahu ramai yang hebat mencipta lagu tetapi janganlah menyertai industri muzik jika niatnya hanya suka-suka.
"Ambil serius mengenainya. Kalau nak main-main, rasanya tak perlu adalah dalam industri muzik. Maaf, mungkin cara jawab saya ini kasar, tapi itulah hakikatnya.
"Ramai orang nak jadi komposer, penerbit (muzik) dan mereka mempunyai banyak produk bagus, tapi mereka tak boleh nak keluarkan. Yang sudah ada dalam Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), kalau nak pendapatan lebih, janaan produk, tolong ambil serius," katanya.
Penyanyi lagu Kasih Tercipta itu berkata, angan-angan kosong saja tidak menjamin tempat dalam industri muzik sekiranya sekadar suka-suka menghasilkan muzik.
"Ini bukan macam zaman waktu pergi 'jamming', tiba-tiba ada impian nak jadi komposer. Nak jadi pencipta lagu, tengok semua orang buat lagu, boleh buat duit.
"Kena ambil serius dan jadikan ia kerjaya. Bukan minat suka-suka dan hobi. Tulis sebanyak lagu yang boleh dan terus gesa diri," katanya.
Faizal berkongsi perkara itu menerusi sesi sembang antara syarikat rakamannya Faithful Music dan MACP, baru-baru ini.

|
|