CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 391|Reply: 4

"Sekiranya Apa-Apa Berlaku Kepada Altantuya, Cari Razak Baginda"

[Copy link]
Post time 19-5-2022 11:05 AM | Show all posts |Read mode
Shah Alam: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wanita warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu pernah membuat laporan polis menyatakan 'sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda', hari yang sama wanita itu hilang hampir 16 tahun lalu.


Superintendan Tonny Anak Lunggan, 42, pegawai penyiasat dalam kes bunuh wanita itu berkata, pada 3 November 2016 beliau dihubungi melalui telefon oleh Deputi Superintendan (DSP) Gan Tack Guan memaklumkan satu laporan polis dibuat Altantuya di Balai Polis Tun H.S. Lee pada 1.08 tengah hari, 19 Oktober 2006.


"Saya sudah menyemak laporan polis itu melalui Police Reporting System (PRS) dan mencetaknya keluar. Saya dapati adalah benar bahawa laporan polis itu dibuat oleh Altantuya dan memaklumkan kepada DSP Gan dan Zainol Samah mengenai laporan polis itu.


"Saya ingat satu perkara yang amat jelas. Altantuya nyatakan dalam laporan itu sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda)," kata saksi ke-26 itu ketika membacakan pernyataan saksinya.


Foto: Harian Metro




Beliau berkata demikian pada prosiding kes saman RM100 juta difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.


Kepada soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu berkata, Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis itu, namun beliau tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya.


Tonny, yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman berkata, adalah penting untuk siasatan dibuat terhadap laporan polis itu kerana ia dibuat oleh si mati dan berkait langsung dengan kehilangannya.


"Tambahan pula, laporan itu dibuat pada hari sama dengan kehilangan beliau (19 Oktober 2006).


"Walaupun saya bukan pegawai penyiasat bagi laporan itu, saya masih mengambil kira laporan tersebut kerana berkait terus dengan siasatan saya khususnya terhadap laporan Namiraa Gerelmaa mengenai kehilangan rakannya (Altantuya)," katanya.


Menurut Tonny, kandungan laporan polis Namiraa menyatakan pada 7 malam, 19 Oktober 2006, semasa beliau dan Altantuya berada di sebuah hotel, wanita itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu Altantuya bahawa suaminya meminta lelaki itu menjemputnya ke sebuah rumah di Damansara Heights.


"Kira-kira 8 malam, Altantuya kemudiannya menghubungi Namiraa dan menyatakan beliau sudah sampai di rumah suaminya bernama Abdul Razak Abdullah Baginda.


"Namiraa menyatakan beliau cuba menghubungi rakannya itu, namun gagal. Beliau membuat laporan polis kerana takut terjadi apa-apa hal keselamatan terhadap rakannya itu," katanya.


Tonny berkata, berdasarkan siasatan serta kandungan laporan polis itu, DSP Gan mengarahkan Asisten Superintendan (ASP) Lim Meng Seah untuk menangkap Abdul Razak dan lelaki itu kemudian ditangkap pada 7 November 2006.


Sementara itu, Tonny berkata, Abdul Razak juga membuat laporan polis pada 23 Oktober 2006 berkenaan ugutan oleh Altantuya, yang juga dikenali sebagai Amina pada 17 Oktober dan laporan berhubung gangguan daripada seorang lelaki serta dua perempuan warga asing, yang dibuat pada 20 Oktober tahun sama.


Ditanya Sangeet adakah saksi itu tahu mengapa laporan polis tersebut dibuat tujuh hari selepas Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak pada 17 Oktober, Tony menjawab, beliau tidak tahu kenapa laporan oleh Abdul Razak dibuat lewat dan beliau tidak diberi penerangan berhubung perkara itu.


Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.


Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.


Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk. -CARI


Sumber: Harian Metro
Reply

Use magic Report

Post time 19-5-2022 12:01 PM | Show all posts
tanyalah kak mah kihkih
Reply

Use magic Report

Post time 19-5-2022 12:21 PM From the mobile phone | Show all posts
16tahun x selesai lagi…
Reply

Use magic Report

Post time 19-5-2022 12:22 PM From the mobile phone | Show all posts
tanda2 PRU semakin hampir. hantu Altantuya kembali lagi
Reply

Use magic Report

Post time 19-5-2022 12:32 PM From the mobile phone | Show all posts
Yang ni kan, rasanya Najib dan Kak Mah memang takda kaitan? Elok hidup je pun bini kedua ajib tu?
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Forum Hot Topic



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

28-6-2022 08:23 AM GMT+8 , Processed in 0.081222 second(s), 21 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list