CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 135|Reply: 0

Nor Sarah sasar pecah rekod Natalie

[Copy link]
Post time 17-5-2022 04:45 PM | Show all posts |Read mode

Nor Sarah Adi ketika memenangi pingat emas ke-19 buat kontinjen negara. - BERNAMA

HANOI: Pemenang pingat emas lompat bergalah di Sukan SEA Vietnam 2021, Nor Sarah Adi bertekad memecah rekod temasya dipegang atlet Filipina, Natalie Uy 4.25 meter (m) pada edisi temasya akan datang di Kemboja, tahun depan.

Sarah yang memenangi 'emas tak dijangka' di Stadium My Dinh dengan lompatan 4 meter (m) semalam berkata, dia sebenarnya berdepan masa latihan begitu suntuk bagi acara berkenaan memandangkan fokus utamanya di Hanoi adalah dalam acara 4x100m.

Atlet berusia 22 tahun yang turut membantu kuartet 4x100m meraih gangsa berkata, peluang untuk beraksi dalam acara lompat bergalah itu dianggap sebagai 'durian runtuh' buat dirinya apatah lagi kesuntukan masa latihan bagi acara berkenaan - ditambah pula dengan mengalami kecederaan belakang baru-baru ini.

Katanya walaupun berdepan pelbagai rintangan sebelum beraksi, semua itu bukan halangan apatah lagi dirinya percaya dengan ketentuan tuhan yang sukar dijangka sama sekali.


"Saya datang ke sini hanya dengan sasaran untuk mengambil pengalaman dan melakukan setidak-tidaknya 3.7m. Namun perasaan itu berbeza sekali di sini. Apabila kita percaya kepada Dia, dan semuanya sudah tertulis.

"Saya sudah berusaha dan melakukan yang terbaik. (Emas) ini sememangnya tidak dijangka," kata Sarah yang menyertai temasya atas tiket kelayakan dalam acara 4x100m wanita dan menyertai lompat bergalah selepas diberikan peluang dan kepercayaan oleh pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada jurulatih saya, Roslinda Samsu... bekas ratu lompat bergalah Malaysia, bersempena sambutan Hari Guru dan juga jurulatih lompat bergalah saya ketika ini, Teh Weng Chang (bekas atlet lompat bergalah Malaysia)."

Rekod temasya lompat bergalah dipegang atlet Filipina, Natalie Uy dengan 4.25m yang dilakukan di Sukan SEA Filipina 2019 dan Sarah sudah bersedia untuk meleburkan catatan itu di Kemboja nanti.

"Saya sebenarnya dalam persiapan untuk Sukan SEA tahun depan. Saya tak mahu janjikan bulan dan bintang tetapi dengan izin tuhan, saya nak pecahkan rekod Sukan SEA iaitu 4.25m pada edisi tahun depan," katanya.

Sarah menyertai edisi ke-31 itu dengan kecederaan belakang yang menyelubunginya sejak minggu lalu namun kekuatan mental membantunya untuk pantas bangkit sebelum bermulanya pertandingan.

"Saya mempunyai sedikit masa untuk latihan lompat bergalah, hanya fokus kepada teknik saja dan yang lain tidak banyak. Dalam sebulan saya hanya mempunyai lapan sesi latihan saja.

"Pada minggu lalu, saya mengalami kecederaan dan tak boleh berjalan langsung... cedera di bahagian belakang. Selepas itu, saya sudah tidak memikirkan apa-apa, saya hanya percaya kepada aturan ditetapkan Dia.

"Jadi, saya pergi (ke Hanoi) untuk melakukan yang terbaik saja. Saya tidak menyertai latihan (ketika kecederaan), hanya menjalani rawatan pemulihan dan fisioterapi. Alhamdulillah dapat melakukan lompatan 4m. Saya masih berasa seperti mimpi meraih emas ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... pecah-rekod-natalie
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

29-6-2022 10:56 AM GMT+8 , Processed in 0.081210 second(s), 21 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list