CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 107|Reply: 0

[Terengganu] 'Ayah mungkin kena serangan jantung'

[Copy link]
Post time 17-5-2022 10:23 AM | Show all posts |Read mode
Kuala Terengganu: "Ayah kemungkinan terkena serangan jantung sebelum terjatuh ke laut, lagipun berlaku ribut kira-kira setengah jam awal pagi tadi menyebabkan laut bergelora, mungkin ketika itu ayah tercampak ke laut," kata Tuan Romzi Tuan Razali, 51.

Tuan Romzi adalah anak kepada warga emas, Tuan Razali Wok, 74, yang dipercayai jatuh ke laut ketika dalam perjalanan pulang mencandat sotong bersama dua rakan di perairan Pulau Kapas, Marang, hari ini.

Menurutnya, bapanya yang juga seorang nelayan dikatakan keluar ke laut bersama dua rakannya pada 2.30 petang semalam untuk mencandat sotong di perairan pulau berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bapanya jarang ke laut selepas menghidap penyakit jantung dan kencing manis kronik sejak tiga tahun lalu.

"Sepanjang Ramadan lalu dia tidak turun ke laut walaupun ada rakan mengajaknya menangkap ikan dan mencandat sotong.

"Bimbang dengan keselamatannya, kami adik beradik selalu menasihati bapa supaya berhenti ke laut, malah bot milik ayah pun kami sudah jual kerana tidak mahu dia ke laut.



TUAN Romzi (kiri) bersama keluarganya di jeti Pelabuhan Chendering. FOTO Zaid Salim

"Tetapi disebabkan kerja nelayan sudah sebati dengan ayah, kadangkala dia teringin turun ke laut bersama rakan," katanya ketika ditemui di Pelabuhan Chendering, di sini, hari ini.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu berkata, selepas Ramadan, tiga hari berturut-turut bapanya ke laut untuk mencandat sotong bersama rakannya sebelum warga emas terbabit dilaporkan hilang dipercayai terjatuh daripada bot, hari ini.

"Hari pertama ayah keluar, dia gembira kerana bawa balik 40 kilogram sotong, hari kedua kurang sikit berbanding hari pertama dan semalam hari ketiga," katanya.

Katanya, difahamkan, ketika dalam perjalanan pulang, bapanya dikatakan berada di bahagian hadapan manakala dua lagi rakannya di bahagian belakang.

Tuan Romzi yang berniaga ikan di pelabuhan berkenaan berkata, keadaan bapanya agak berbeza sebelum keluar ke laut yang mana dia kelihatan sugul dan kurang bercakap.

"Memang nampak jelas perubahan itu tetapi tidak terfikir sesuatu kejadian buruk akan berlaku," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... gan-jantung-metrotv
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

3-7-2022 10:09 AM GMT+8 , Processed in 0.073194 second(s), 21 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list