Chinese
Color
Orange
Black
Blue
Purple
Green
Deep Blue
Laman Utama
Forum
Fokus
Semasa
Gosip Socmed
Infozon
tularsuara
Search
Medal khas "Senior Forumer" untuk yang daftar CARI dari tahun 2001 hingga 2010 sahaja. Untuk tebus, sila klik disini
805
View
0
Reply

Ujian pengorbanan, ketakwaan

[Copy link]

Author: Raline       Show all posts   Read mode

Author
Post time 20-7-2021 11:23 PM | Show all posts |Read mode
Ujian pengorbanan, ketakwaan



SEORANG petani menunggu pembeli haiwan ternakannya menjelang sambutan Aidiladha di sebuah pasar ternakan di bandar Nablus, Tebing Barat, Palestin.
Ibadah korban dan pengorbanan adalah dua perkara berbeza, tetapi membawa semangat dan nilai yang sama. Sejarah kisah Nabi Ibrahim AS yang direkodkan dalam al-Quran melalui Surah al-Saffat menunjukkan betapa pengorbanan seorang bapa mentaati perintah Allah untuk menyembelih anaknya dan pengorbanan seorang anak, iaitu Nabi Ismail AS reda untuk disembelih diganjari nikmat yang besar.

Pengorbanan ini menjadi syiar Islam yang agung dan ikutan oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia. Rentetan daripada peristiwa ini, ibadah korban dilaksanakan saban tahun dalam laungan takbir memuji kebesaran Allah di Aidiladha.

Perkataan 'aid' dalam Bahasa Arab itu sendiri membawa maksud berulang-ulang. Apakah rasional ia disyariatkan berlaku secara berulang-ulang? Masakan ia hanya sambutan biasa jika Allah telah menetapkannya berlaku setiap tahun.

Ternyata, ibadah korban bukan sekadar membayar bahagian daging korban, menyembelih dan melapah. Malah lebih daripada itu, Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Hajj, ayat 37: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu"

Nas al-Quran ini menunjukkan di sebalik pensyariatan korban, ada tujuan yang besar yang Allah tetapkan iaitu untuk membentuk sifat ikhlas dan bertakwa. Allah SWT tidak sekali-kali memandang kepada segala bentuk material tetapi aspek spiritual melalui sifat ketaqwaan merupakan objektif paling utama yang perlu dihayati oleh setiap umat Islam. Ini kerana sifat ini akan mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT dan mengetepikan kepentingan peribadi yang merupakan habuan dunia semata-mata.

Sebagai contoh apabila seseorang ingin melaksanakan ibadah korban, beliau perlu mengeluarkan sejumlah bayaran yang berpatutan dengan kadar semasa. Bagi seorang pengembala, ibadah korban menuntut dia mengorbankan haiwan ternakan yang sihat dan cukup syarat. Ibadah ini dilakukan atas kerelaan tanpa paksaan oleh sesiapa pun.

Di sinilah terbitnya keikhlasan dalam mengorbankan harta yang ada demi mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Bukan mudah untuk kita mengorbankan harta yang bernilai demi memenuhi kepentingan pihak lain.

Ibadah tahunan ini umpama latihan intensif untuk menguatkan diri dalam menghadapi kehidupan seharian. Kekuatan hubungan hati seseorang dengan Allah menjadikan dirinya yakin dan beriman dengan pertolongan dan lindungan Allah.

Dia tidak sekali-kali tunduk pada nafsu dan tipu daya dunia, tidak lokek membelanjakan hartanya untuk keperluan insan yang memerlukan dan tidak juga lemah tersungkur apabila ditimpa kesusahan. Ini kerana dia tahu hidupnya hanya untuk Allah, harta, masa dan dirinya adalah pinjaman daripada Allah serta hanya pada Tuhan sahajalah tempat dia bergantung.

Begitulah kaitan antara pengorbanan dan ketakwaan sehingga disebutkan dalam Surah al-Baqarah ayat 197 bahawa takwa itu merupakan sebaik-baik bekalan di akhirat kelak.

Pengorbanan yang hakiki ialah apabila seseorang itu meletakkan keredaan Allah mengatasi kepentingan diri. Tidakkah kita sedar bahawa ujian wabak Covid-19 sangat banyak menuntut kita untuk berkorban sedaya apa pun untuk kebaikan dan kemaslahatan semua?

Ia umpama medan yang sangat besar untuk kita buktikan keikhlasan dan ketakwaan diri kepada Allah SWT. Sungguh, wabak ini adalah penyakit dan berkorban tidak secara langsung menyembuhkan penyakit! Tetapi pandemik ini adalah salah satu dugaan yang Allah turunkan untuk menguji hamba-hamba-Nya.

Perhatikan baik-baik potongan ayat-ayat al-Quran berikut: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Surah al-Ankabut: 2)

"dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan" (Surah al-Anbiya': 35)

"Dan sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu" (Surah Ali Imran: 186)

Selepas Allah memberi jalan untuk melatih diri meningkatkan ketakwaan melalui pelbagai cara termasuk berkorban, Allah datangkan ujian untuk mengenal pasti tahap keimanan dan ketakwaan. Maka di sinilah ruang dan peluang yang perlu kita gunakan untuk menunjukkan ketakwaan kita kepada Allah.

Pandemik ini bukan sahaja menguji tahap kesihatan manusia tetapi ia juga menguji tahap kesediaan kita memanfaatkan diri dan harta benda demi kemaslahatan bersama.

Berkorban meliputi pelbagai aspek. Orang yang mempunyai harta berkorban duit dan aset, orang yang mempunyai kuasa berkorban masa, orang yang mempunyai kepakaran berkorban jiwa dan orang yang mempunyai kudrat berkorban tulang empat kerat.

Mungkin terdapat antara kita yang berasa lelah dek kerana pengorbanan mereka selama ini masih belum menampakkan tanda-tanda kemenangan. Namun, jangan sesekali kita lemah semangat dan berpaling daripada perjuangan menentang wabak ini.

Kita harus mengambil inti pati daripada ayat terakhir Surah Ali Imran yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

Ayat ini memberi empat tip penting kawalan kendiri untuk berjaya menghadapi dugaan iaitu pertama, bersabar, memperkukuhkan kesabaran, membuat persediaan dan bertakwa kepada Allah.

Dua tip pertama menekankan aspek kesabaran. Ia meliputi sabar menghadapi dugaan dan juga sabar dalam terus-menerus membuat kebaikan. Jangan sesekali berputus asa. Namun kesabaran sahaja tidak mencukupi tanpa persediaan.

Kenal pasti keperluan dan strategi menghadapi wabak ini dan akhir sekali tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, iaitu dengan penuh rasa pengharapan kepada-Nya.

Penulis Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register | Facebook Login

Points Rules

 CARI App
Get it FREE Google play
 Twitter
 Instagram
cari_infonet
FOLLOW
Copyright © 1996-2021 Cari Internet Sdn Bhd All Rights Reserved(483575-W)
Private Cloud provided by IPSERVERONE
Advertise with us
Quick Reply To Top Return to the list