Selebriti yang pernah berimej seksi itu mengakui, perubahan hidupnya berlaku secara berperingkat, bermula dengan belajar solat lima waktu, sebelum menjaga lisan dan gaya pemakaian.
“Setiap insan ingin ke arah yang lebih baik, begitu juga saya. Dalam tiga, empat tahun lalu saya belajar betulkan dan lengkapkan solat, mendekati al-Quran, imarahkan majlis agama dan sebagainya kerana saya ada banyak kekurangan.
“Selepas itu saya mula jaga pertuturan dan pemakaian. Lama-kelamaan saya berhijab tetapi saya enggan bertudung sebab fesyen semata-mata. Jadi, saya tutup aurat dengan mengenakan stoking tangan dan kaki sampailah sekarang.
“Dugaan memang banyak namun kita kena istiqamah, tambahan pula insan seperti saya yang masih perlu banyak belajar. Oleh kerana itu saya jadikan laman sosial sebagai medan tambah pahala dengan berkongsi pelbagai ilmu bermanfaat kepada diri dan orang lain.
“Saya juga padam gambar lama, segan ingat kekhilafan lalu namun jika ada video atau gambar tak berhijab dalam medium lain, itu semua di luar bidang kuasa saya, janji Allah tahu saya sudah berubah. Semua itu juga jadi pengajaran pada diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, ditanya tentang mata pencariannya, Ezlynn kini berniaga kecil-kecilan, membuat ulasan produk atau perkhidmatan menerusi Instagram selain aktif melakukan kerja amal bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Kalau ikutkan dugaan musim Covid-19 ini cukup mencabar. Saya tak kisah buat apa pun janji dapat rezeki halal. Pembabitan dalam APM pula antara cara saya kurangkan tekanan. Daripada meratapi nasib, lebih baik saya buat kerja amal.
“Insya-Allah rezeki itu akan datang kemudian, mungkin dalam keadaan lain. Namun kalau pasal berlakon atau menyanyi, saya tetap sedia terima sebab ini adalah tempat saya cari makan,” katanya yang hidup solo sejak bercerai pada 2017. – K! ONLINE
Sumber:
https://www.kosmo.com.my