JAWATAN KOSONG! Jadi penulis freelance kami dan berpeluang menang hadiah wang tunai berjumlah RM300! Klik sini > CARI Warrior
Chinese
Color
Orange
Black
Blue
Purple
Green
Deep Blue
Laman Utama
Forum
Fokus
Semasa
Gosip Socmed
Kolumnis
Search
268
View
0
Reply

Peragawati cilik

[Copy link]

Author: auntyaya       Show all posts   Read mode

Author
Post time 5-12-2018 10:56 AM | Show all posts |Read mode

Sebaik saja alunan muzik dimainkan, lima kanak-kanak seawal usia tiga hingga 10 tahun mula mengambil tempat masing-masing. Sambil diperhatikan tenaga pengajar Mohammad Naqib Idris, masing-masing menghayunkan langkah mengikut rentak lagu, sambil tangan digerakkan manakala mata tegak selaras.
Apabila sampai ke hujung garisan, kanak-kanak ini berhenti sambil menunjukkan aksi tersendiri, sebelum berpusing kembali ke tempat asal. Walaupun masih kecil, gelagat mereka sangat mencuit hati.
Persis model profesional, peragawati cilik ini mampu mengikut arahan dan melakukan aksi sama seperti model sebenar walaupun ada di antaranya hanya mengikuti satu sesi pembelajaran.
Bagi Asdarina Abd Rahman, 32, pada mulanya dia hanya menghantar anak sulungnya Adriana Alyssa Mohd Norhafizi, 10, ke kelas modeling kelolaan Rev Show Fashion Talent anjuran Naqib Idris sejak April 2018. Tujuan asalnya bagi mendedahkan Adriana dengan dunia luar selain menjadikannya lebih berkeyakinan.
"Adriana sangat pemalu dan kurang bergaul dengan rakan. Kegemarannya suka bermain gajet dan menonton YouTube. Jadi saya ingin mencari platform sesuai agar dapat menambah keyakinannya selain membuang tabiat suka bermain permainan video.
"Selepas mendapatkan maklumat di Facebook saya tertarik menyertai kelas peragaan cilik kerana ia turut disertakan penampilan diri termasuk solekan dan jati diri," katanya.
Ketika kelas kali pertama, dua lagi cahaya mata iaitu Hani Ariana Ixara, 7, dan Airis Amanda, 4, turut dibawa bersama. Melihat keseronokan kakak mereka, menyebabkan Hani dan Airis turut ingin mencuba.
Tanpa berfikir panjang saya terus mendaftarkan ketiga-tiga anak saya ke kelas ini supaya mereka dapat bergaul dan menunjukkan bakat bersama, katanya.
Kesannya, selepas tiga kali kelas, jelas perubahan pada diri Adriana apabila dia semakin petah bercakap, suka bergaul dengan rakan tanpa mengira usia malah lebih bijak menggunakan panggilan sesuai apabila bertemu dengan individu yang lebih berusia.
Paling penting dia menjadi lebih matang dan mampu menguruskan diri. Malahan menerusi kelas penampilan diri Adriana sudah boleh berdandan dan memilih padanan sendiri apabila keluar rumah, katanya.
Lebih yakin dan kurang rasa malu, kedua-dua sifat ini dibentuk menerusi latihan berjalan dan berhadapan orang ramai. Ini secara tidak langsung mendedahkannya dengan dunia luar.
Menurut Asdarina dia juga turut membawa ketiga-tiga anaknya menyertai pemilihan model cilik sama ada untuk iklan di media elektronik atau cetak. Selain menjadikan mereka lebih yakin, wang yang diperoleh dapat digunakan untuk pembelajaran mereka.

Bagi Rahayu Abd Latif , 31, dia memilih kelas modeling cilik disebabkan ingin menjadikan anaknya Nur Rania Faresya, 7, lebih lembut seperti kanak-kanak perempuan seusia dengannya.
Sebelum ini Rania sangat kasar dan lebih suka bergaul dengan kanak-kanak lelaki. Dia juga suka memanjat dan berpenampilan seperti lelaki. Apabila mengetahui mengenai kelas peragaan ini saya terus berminat mendaftarkan Rania dan adiknya Nur Raisyya Fateha, 3, bersama-sama, katanya.
Kelas yang diadakan seminggu sekali ini bukan saja menekankan mengenai cara berjalan di pentas peragaan tetapi juga penampilan, solekan dan juga keyakinan diri.
Pada mulanya Rania dan adiknya sukar bergaul dengan rakan lain, mereka menangis kerana malu tetapi selepas sesi ketiga dua beradik ini sudah terbiasa dan tidak lagi kekok beraksi seperti model.
Ujar Rahayu, dia bukanlah ingin menjadikan anaknya peragawati tetapi sebagai persediaan membentuk keyakinan dan kebolehan menguruskan diri sendiri. Ia juga dapat membuang ketagihan kanak-kanak terhadap gajet selain mendidik mereka menghormati individu yang lebih berusia.
Masalah utama ibu bapa sekarang adalah ketaasuban anak terhadap gajet. Ini menjadikan mereka kurang bergaul dan juga bercakap. Jadi dengan adanya kelas modeling ini ia sebagai pencetus dalam membentuk jiwa kanak-kanak yang seharusnya memiliki sifat peramah dan aktif, katanya.
Ada hala tuju
Menyedari kegilaan kanak-kanak kepada teknologi serta keterbukaan mereka terhadap laman sosial seperti Facebook dan Instagram, pendedahan kelas modeling awal kepada si cilik ini sekurang-kurangnya dapat mengubah tabiat kanak-kanak terhadap gajet.
Saya pernah melihat kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah diberikan telefon pintar dan dibuka akaun Instagram oleh ibu sendiri. Akibatnya dia ketagih untuk melayari Instagram sedangkan kandungannya langsung tidak sesuai dengan usia mereka.
Ada pula gemar melayari YouTube tanpa pemantauan ibu bapa. Ia sangat menakutkan kerana mereka boleh mencari apa sahaja video hanya dengan menekan perkataan yang dikehendaki, katanya.
Kebimbangan ibu bapa yang dinyatakan ini kemudian dizahirkan menerusi kelas modeling supaya kanak-kanak dapat berkomunikasi dengan rakan sebaya, tahu cara berkomunikasi, menghormati orang lebih tua dan lebih yakin pada diri sendiri.
Menurut Naqib kelas modeling anjurannya bukan hanya menyediakan teknik asas peragaan tetapi juga penampilan diri seperti asas solekan, penggayaan dan juga penekanan jati diri.

Asas solekan bukanlah menggunakan semua alat solek sebaliknya bagaimana memakai bedak, gincu dan pembayang mata agar mereka dapat melakukannya sendiri.
"Menerusi penggayaan pula mereka diajar cara berjalan dan beraksi di hadapan kamera. Ini secara tidak langsung mampu menjana pendapatan menerusi iklan televisyen atau peragaan majalah yang disertai mereka, katanya.
Setakat ini memang ada permintaan untuk model kanak-kanak terbabit dalam iklan televisyen. Asalkan mereka berkeyakinan, mampu bercakap dengan baik dan berpenampilan menarik sudah pasti peluang menyertainya sangat cerah.
Bagi ibu bapa yang tidak mahu mendedahkan anak kepada bidang peragaan, pembelajaran menerusi penggayaan mampu menjadikan si kecil lebih berdikari dan berkeyakinan tinggi. Ada yang bijak berkomunikasi dan semakin petah bercakap selepas menyertai kelas ini, katanya.
Pada masa sama Naqib juga ingin mendidik kanak-kanak sejak awal usia supaya tidak rasa tertekan dengan fizikal mereka. Ini kerana ada kanak-kanak yang berisi dan montel menjadi pendiam disebabkan ejekan rakan sekelas.
Jadi selepas diajar bersolek, berjalan dan bercakap diharap golongan ini menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan rakan-rakan sekelas dan tidak beranggapan memiliki badan yang montel itu satu kekurangan. Mungkin juga apabila melihat rakan sebaya yang cantik dengan bentuk badan normal mereka mempunyai semangat menguruskan badan, katanya yang mengadakan kelas pada hujung minggu bergantung kepada permintaan ibu bapa.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register | Facebook Login

Points Rules

 CARI App
Get it FREE Apple App Store
Get it FREE Google play
 Instagram
cari_infonet
FOLLOW
Copyright © 1996-2018 Cari Internet Sdn Bhd All Rights Reserved(483575-W)
0.041114s Gzip On
Quick Reply To Top Return to the list