CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25474|Reply: 0

[Sabah] Borneo Oil Berhad mulakan operasi perlombongan emas di Bukit Ibam

[Copy link]
Post time 14-2-2026 03:03 PM | Show all posts |Read mode

LULUS: Kelulusan OMS meliputi pajakan lombong 187 hektar sah hingga 21 Disember 2027 dan membolehkan pembinaan loji CIL serta peluasan operasi perlombongan emas Borneo Oil Berhad.

KOTA KINABALU: Borneo Oil Berhad menerima kelulusan kawal selia penting bagi memulakan pembangunan lombong, aktiviti perlombongan serta pemprosesan emas di Bukit Ibam, Pahang, sekali gus membuka laluan kepada pengeluaran emas pada skala komersial.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan, kelulusan berkenaan diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Borneo Oil Corporation Sdn Bhd oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

Kelulusan itu membolehkan pembangunan lombong, perlombongan dan pemprosesan emas dilaksanakan melalui kaedah Carbon-In-Leach (CIL) di kawasan perlombongan Bukit Ibam di bawah Skim Operasi Perlombongan (OMS) yang diluluskan.

Jurucakap kenyataan itu berkata, kelulusan berkenaan menjadi pencapaian penting dalam usaha syarikat memajukan operasi perlombongan emas di salah satu kawasan perlombongan emas bersejarah di Semenanjung Malaysia.

“Kawasan Bukit Ibam terletak kira-kira 40 kilometer dari Muadzam Shah dan 90 kilometer dari Kuantan serta dikenali sebagai kawasan perlombongan emas sejak abad ke-19.

“Melalui Perjanjian Perkongsian Pengeluaran Eksklusif, Borneo Oil Corporation Sdn Bhd mempunyai hak eksklusif menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar di Hutan Simpan Bukit Ibam, Mukim Keratong, Rompin, Pahang.

“Berdasarkan laporan penerokaan dan penilaian teknikal, projek Bukit Ibam dianggarkan mengandungi kira-kira 60,814 auns emas atau bersamaan 1.892 tan metrik emas merangkumi beberapa zon mineralisasi,” katanya.



TEROKA: Penerokaan lanjut di kawasan projek masih dijalankan dan hasilnya akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya, laporan pematuhan JORC bagi Zon B menunjukkan anggaran sumber emas sebanyak 22,200 auns, manakala aktiviti penggerudian di Zon D dan H pada 2022 menemukan tambahan sumber dianggarkan sebanyak 6,360 auns emas.

“Penilaian dalaman turut menganggarkan sumber emas oksida sebanyak 56,460 auns, manakala sisa lombong lama di kawasan berkenaan mengandungi kira-kira 14,570 auns emas.

“Secara keseluruhan, jumlah sumber emas di kawasan berkenaan dianggarkan sebanyak 5.008 tan metrik emas yang sesuai diproses menggunakan gabungan kaedah graviti dan Carbon-In-Leach.

“Ujian metalurgi dijalankan mendapati kira-kira 30 peratus emas dalam bijih oksida boleh dipulihkan melalui kaedah graviti, manakala baki emas boleh diekstrak melalui proses CIL dengan kadar pemulihan tambahan sehingga 80 peratus,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, kadar pemulihan emas dianggarkan mencapai antara 85 hingga 90 peratus bergantung kepada ciri bijih, gred kandungan dan keadaan operasi.

“Sebagai persediaan, syarikat sebelum ini menyiapkan loji perintis CIL dan kini menerima kelulusan untuk membina loji pemprosesan berskala penuh di kawasan berkenaan.

“Syarikat juga menyenarai pendek kontraktor berpengalaman bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan loji pemprosesan itu sebagai langkah seterusnya dalam pembangunan projek,” katanya.

Menurutnya, kelulusan OMS mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor perlombongan emas serta menyokong strategi jangka panjang untuk membangunkan perniagaan perlombongan dan pemprosesan mineral secara mampan di Malaysia.

“Dengan kelulusan kawal selia diperoleh dan pembangunan infrastruktur pemprosesan sedang dilaksanakan, projek Bukit Ibam dijangka menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-2-2026 07:46 AM GMT+8 , Processed in 0.580143 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list