CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15990|Reply: 0

[Sarawak] Pelaburan dalam AFFIN bina platform kewangan kukuh jangka panjang buat Sarawak

[Copy link]
Post time 9-2-2026 08:06 AM | Show all posts |Read mode


Abang Johari (tengah) bersama yang lain melakukan simbolik perasmian ulang tahun ke-50 Affin. -Gambar UKAS

KUALA LUMPUR: Pelaburan strategik Kerajaan Sarawak dalam AFFIN merupakan langkah berwawasan bagi membina sinergi kewangan jangka panjang, sekali gus memperkukuh ekosistem pembiayaan yang mampan dalam menyokong agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah mengambil satu langkah strategik pada tahun 2024 dengan menjadi pemegang saham tunggal terbesar AFFIN yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia dan tidak dibuat atas dasar simbolik.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan membina sebuah platform kewangan yang lebih kukuh serta mewujudkan sinergi dengan institusi perbankan yang mantap dan berkeupayaan, selaras dengan usaha Sarawak untuk meningkatkan potensi ekonominya.

"Langkah ini diambil kerana pembangunan bukan sekadar memerlukan aspirasi, tetapi menuntut keupayaan pembiayaan yang boleh diyakini, akses kepada modal yang tepat pada masanya, keputusan yang jelas serta pelaksanaan yang berdaya tahan dalam apa jua keadaan," katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Terdahulu Abang Johari hadir pada  Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-50 AFFIN dan Makan Malam Tahun Baharu Cina di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu.

Abang Johari dalam ucapannya menambah, agenda pembangunan negeri tersebut tidak hanya bergantung kepada satu bentuk pembiayaan, sebaliknya memerlukan satu spektrum yang menyeluruh.

Jelas beliau, seiring kemajuan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), AFFIN berada pada kedudukan yang strategik untuk terlibat dalam pembiayaan yang memperkukuh kapasiti ekonomi sebenar serta menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.



Abang Johari (tiga kanan) bersama yang lain melakukan upacara yee sang sebagai simbolik perayaan Tahun Baharu Cina. - Gambar UKAS

"Pasaran juga telah mengiktiraf peningkatan kekuatan AFFIN apabila Moody’s mengesahkan penarafan kredit antarabangsa kukuh Kumpulan pada A3 serta menaikkan penarafan kendirinya kepada Baa2.

"Pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan yang tinggi terhadap AFFIN dan membuka laluan kepada pembiayaan yang lebih kompetitif, sekali gus memperkukuh peranannya dalam menyokong ekonomi dan memacu pertumbuhan masa hadapan," katanya lagi.

Mengulas kedudukan AFFIN, Abang Johari berkata, kedudukan serantau AFFIN juga semakin mendapat pengiktirafan apabila disenaraikan dalam Fortune Southeast Asia 500 buat tahun kedua berturut-turut, membuktikan bahawa AFFIN merupakan sebuah institusi Malaysia yang semakin relevan dalam persekitaran serantau yang kompetitif.

"Pengiktirafan ini penting kerana kedudukan yang lebih kukuh akan meningkatkan keupayaan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, menyokong sektor-sektor produktif dan memperluas akses kepada pembiayaan yang bertanggungjawab.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Dr. Johari Abdul, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 09:32 PM GMT+8 , Processed in 0.081695 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list