CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14646|Reply: 0

[Sabah] TVET, Politeknik bukan pilihan kelas kedua

[Copy link]
Post time 9-2-2026 07:51 AM | Show all posts |Read mode


LAWAT: Lo berkesempatan melawat semua reruai yang menyertai Karnival JMU 2026 Zon Sabah di Tawau.

TAWAU: Pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) termasuk pengajian di politeknik bukan lagi laluan kelas kedua, sebaliknya menjadi antara pilihan terbaik untuk menjamin masa depan belia, khususnya di Sabah.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, persepsi lama yang menganggap TVET dan politeknik hanya sesuai untuk pelajar lemah akademik perlu diubah selaras dengan keperluan industri dan perubahan zaman.

“Zaman sudah berubah. Hari ini ramai graduan TVET memperoleh pendapatan yang lebih lumayan berbanding sesetengah profesion tradisional seperti doktor atau peguam.

“TVET merangkumi bidang strategik seperti pertanian moden, automotif, perladangan, akuakultur dan kejuruteraan, yang sangat relevan dengan potensi ekonomi Sabah, khususnya Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Sabah di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, Tawau dan Sabah secara amnya mempunyai kekuatan besar dalam sektor perladangan dan sumber laut.

“Justeru pembangunan pendidikan berasaskan TVET dan politeknik seperti di Politeknik Tawau amat penting bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan.

“Ini memastikan pelajar bukan sahaja mendapat pendidikan yang baik, tetapi juga peluang pekerjaan dengan gaji yang munasabah selepas tamat pengajian kerana banyak peluang pekerjaan berkaitan ladang dan laut di kawasan ini,” katanya.


PENGHARGAAN: Lo (tengah) menyampaikan cenderakenangan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Matnoor Sima.

Lo berkata, kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan sentiasa memberi keutamaan kepada pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang untuk pembangunan modal insan.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk kaedah pembelajaran hibrid dan jarak jauh bagi memastikan pelajar di kawasan pedalaman turut menikmati akses pendidikan berkualiti.

“Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor juga telah menggandakan kuota biasiswa bagi membantu lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran JMU 2026 di Tawau amat bermakna kerana memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat terus mengenai laluan pendidikan tinggi yang sesuai, termasuk TVET dan politeknik.

“Karnival ini bukan sekadar pameran universiti, tetapi platform penting untuk pelajar membuat keputusan tepat sebelum memilih bidang pengajian atau institusi yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif seperti FLYsiswa dan SUBFLY yang menyediakan subsidi penerbangan kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung turut membantu meringankan beban kewangan keluarga.

“Saya juga ingin menyeru ibu bapa supaya lebih terbuka dan tidak memandang rendah pendidikan TVET.

“Jangan lagi anggap ini laluan untuk pelajar yang kurang bijak kerana realitinya, TVET kini menjadi antara pemacu ekonomi negara,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai anak watan Sabah berani memilih bidang kemahiran dan teknikal serta kembali menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa depan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 09:32 PM GMT+8 , Processed in 0.136726 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list