|
View: 17230|Reply: 0
|
China dilapor miliki ubat boleh bantu India perangi virus Nipah - Kajian
[Copy link]
|
|
|
Beijing: Penyelidik China mendakwa bahawa ubat antivirus oral sedia adanya menunjukkan keberkesanan terhadap virus Nipah, ancaman maut yang boleh membunuh sehingga 70 peratus daripada mereka yang dijangkiti, lapor China Global Television Network.
Kajian yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal antarabangsa Emerging Microbes & Infections mendedahkan bahawa VV116 iaitu ubat nukleosida yang sudah diluluskan untuk rawatan Covid-19 di China dan Uzbekistan, secara ketara menyekat strain virus Nipah dalam makmal dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup dalam ujian haiwan.
Bertajuk "Ubat nukleosida mulut VV116 adalah calon yang menjanjikan untuk merawat jangkitan virus Nipah," kajian itu mengesahkan potensi terapeutik VV116 dalam melawan virus bawaan kelawar ini yang sudah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai ancaman serantau keutamaan tinggi.
Susulan penularan di India dan Bangladesh antara 2023 dan 2026 yang menunjukkan peningkatan membimbangkan dari segi kekerapan dan julat geografi, virus itu muncul semula di Bengal Barat, India pada bulan ini dan memaksa pihak berkuasa kesihatan mengkuarantin hampir 100 kontak rapat.
Sejak penularannya di Malaysia pada 1998, virus ini mengekalkan kadar kematian yang tinggi antara 40 hingga 70 peratus tanpa sebarang vaksin atau terapeutik khusus yang diluluskan setakat ini.
Penyelidikan ini diketuai oleh pasukan dari Institut Virologi Wuhan di bawah Akademi Sains China dengan kolaborasi Institut Materia Medica Shanghai dan Vigonvita Life Sciences Co Ltd.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa VV116 dan bentuk aktif metaboliknya mempunyai kesan perencatan yang kuat terhadap kedua-dua strain utama virus Nipah iaitu genotip Malaysia (NiV-M) dan varian Bangladesh (NiV-B) yang lebih ganas.
Sebagai ubat 'prodrug' yang menyasarkan polimerase RNA bergantung kepada RNA (RdRp), enzim penting untuk replikasi virus, sebatian ini secara berkesan mengganggu kitaran hayat patogen pada peringkat molekul.
Dalam model jangkitan maut menggunakan hamster, pemberian oral VV116 pada dos 400 miligram bagi setiap kilogram berat badan mencapai kadar kelangsungan hidup 66.7 peratus.
Haiwan yang dirawat juga menunjukkan pengurangan drastik beban virus dalam organ kritikal seperti paru-paru, limpa dan otak.
Pakar perubatan menyatakan bahawa kelulusan selia sedia ada bagi penggunaan ubat itu terhadap manusia untuk Covid-19 boleh mempercepatkan potensi penggunaannya bagi menangani wabak Nipah.
Selain aplikasi terapeutik, penyelidik mencadangkan VV116 juga boleh berfungsi sebagai langkah profilaksis atau pencegahan bagi populasi berisiko tinggi termasuk pekerja penjagaan kesihatan, kakitangan makmal dan komuniti di zon wabak.
Sumber : Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|