Nafas baharu TVETMARA
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Januari 29, 2026 @ 10:06am

Ahmad Zahid meluncurkan penjenamaan TVETMARA di TVETMARA Seberang Perai Utara, sambil disaksikan Asyraf Wajdi (tiga dari kiri) dan Dr Mahzan (kanan), kelmarin. - Foto NSTP/Auris Faqrurazzi
TASEK GELUGOR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melakar sejarah baharu dalam memacu pembangunan modal insan menerusi penjenamaan semula institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) milik MARA kepada TVETMARA.
Langkah itu menjadikan 25 institusi merangkumi Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA-Japan Industrial Institute (MJII) kini dikenali sebagai TVETMARA, sekali gus menyatukan ekosistem TVET di bawah MARA secara bersepadu dan berimpak global.
Transformasi itu menyaksikan MARA terus mengukuhkan mandatnya selepas berjaya melahirkan 197,336 graduan TVETMARA melalui program sepenuh masa yang menandakan pencapaian besar sepanjang menjunjung amanah memartabatkan anak bangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peralihan daripada ekosistem akademik konvensional kepada bidang teknikal berkemahiran tinggi melalui TVET melonjak tinggi dengan MARA muncul sebagai penanda aras utama TVET negara.
"Negara memerlukan kira-kira 60,000 jurutera, bukan hanya dalam kejuruteraan awam, tetapi dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), automasi serta teknologi berimpak tinggi iaitu apa yang kita kenali sebagai TVET tahap tinggi.
"TVET sudah menjadi keperluan strategik nasional malah lebih penting, mengubah minda masyarakat untuk melihat TVET sebagai laluan utama kejayaan dan bukan lagi pilihan alternatif," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Penjenamaan TVETMARA di sini, kelmarin.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, daripada 1,368 institusi TVET di seluruh negara, MARA mencatat jumlah terbanyak dengan memiliki 270 institusi pendidikan TVET dan hal itu menjadi kelebihan strategik yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Jumlah itu meliputi GIATMARA (231); IKM (14); 10 buah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), masing-masing sebuah Malaysia China Institute (MCI), MJII, German Malaysian Institute (GMI) dan 12 kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang beroperasi di seluruh Malaysia.
Pendidikan teknikal aras tinggi Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata realiti hari ini tidak sekadar memberi tumpuan kepada kemahiran asas sebaliknya turut menitik beratkan pendidikan teknikal aras tinggi demi memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.
"Kita sedang membicarakan soal pendidikan teknikal dan vokasional aras tinggi melibatkan bidang teknologi maju seperti Revolusi Industri 4.0, robotik, kenderaan elektrik (EV) dan pelbagai lagi industri berkemahiran tinggi.
"Ini bukan lagi kemahiran yang bersifat konvensional, sebaliknya kemahiran masa depan yang menjadi keperluan industri global," katanya.
Asyraf Wajdi berkongsi, MARA turut menubuhkan Akademi Pakar Tenaga Elektrik Nasional (NEST) di TVETMARA Seberang Perai Utara yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara.
"Justeru, transformasi ini bukan sekadar satu penjenamaan, tetapi adalah garis besar haluan perjuangan TVETMARA dalam sektor elektrik bagi melahirkan tenaga pakar nasional malah berupaya bersaing pada peringkat ASEAN dan antarabangsa," katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Pengarah MARA, Dr Mahzan Teh, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada pra Sambutan Hari MARA ke-60 yang mengukuhkan kesinambungan peranan MARA sejak 1968 sebagai institusi strategik demi menyokong pembangunan sosioekonomi dan daya saing negara.
Beliau menegaskan, MARA yang bakal menyambut usia enam dekad pada 2026 bersedia mengorak langkah lebih jauh untuk menjadi 'game changer' dalam landskap pendidikan TVET dan pasaran kerja.
"Laluan TVET di bawah MARA menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bermula dengan latihan kemahiran di GIATMARA dan pelajar berpeluang menyambung pendidikan teknikal dan vokasional peringkat diploma di institusi TVETMARA.
"Kemudian, graduan turut mempunyai pilihan untuk melanjutkan pengajian ke UniKL bagi mengikuti program peringkat Ijazah hingga Doktor Falsafah (PhD) atau terus memasuki pasaran kerja dengan kelulusan berkaitan," katanya.
"Dalam hal ini, GIATMARA memberi fokus kepada kemahiran tinggi manakala TVETMARA, GMI dan UniKL berfokuskan kepada teknikal berteknologi tinggi yang selari dengan keperluan serta permintaan industri," jelasnya.
Katanya, artikulasi jelas dan komprehensif antara institusi memastikan kesinambungan laluan pendidikan dan kerjaya, membolehkan pelajar bergerak secara tersusun mengikut potensi, minat serta keperluan industri.
Buktinya, kadar kebolehpasaran graduan TVETMARA kini mencecah 97.94 peratus dengan TVETMARA Seberang Perai Utara yang menawarkan Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik & Industri), Diploma Teknologi Kejuruteraan (Kuasa) dan Diploma Kompetensi Elektrik (Pengagihan & Penjanaan) merekodkan kadar 100 peratus selama lima tahun berturut-turut.
Nilai tambah kompetensi Tambahnya, keunikan TVETMARA bukan sekadar pada diploma yang dianugerahkan, tetapi nilai tambah melalui sijil kompetensi yang diiktiraf oleh badan kawal selia industri tempatan dan global
"Di TVETMARA Seberang Perai Utara misalnya, pelajar tidak sekadar menggenggam segulung diploma, tetapi mereka juga dibekalkan Sijil Kompetensi Chargeman A1 atau Wireman PW4 daripada Suruhanjaya Tenaga.
"Lebih menguntungkan, mereka turut mendapat Sijil Kursus Sistem Fotovolta Tersambung Grid (GCPV) serta Sijil Kompetensi Pencantum Kabel daripada SEDA Malaysia dan Sijil Sistem Automasi Bangunan (BAS) yang diiktiraf KNX International Brussels di Belgium selepas tamat pengajian," katanya.
Lebih manis, katanya, data menunjukkan 100 peratus graduan TVETMARA bekerja dalam bidang masing-masing dengan 65 peratus graduan menerima gaji melebihi RM2,500 dan lima hingga 10 peratus memperoleh gaji melebihi RM10,000.
"TVETMARA ialah komitmen kerajaan untuk membangunkan bakat Bumiputera berkemahiran tinggi yang kompeten, berdaya saing, inovatif dan diiktiraf industri agar rakyat Malaysia melihat TVET sebagai laluan kerjaya utama yang bermaruah dan bernilai," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1502851/nafas-baharu-tvetmara
|