Enam kawasan dikesan tak terima hujan lebih 7 hari berturut-turut - METMalaysia
Oleh Ercy Gracella Ajos - Januari 27, 2026 @ 4:20pm
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam kawasan di negara ini dikesan tidak menerima hujan melebihi tujuh hari berturut-turut.
Perkara itu dikongsi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut METMalaysia, Perlis merekodkan jumlah hari tanpa hujan tertinggi sebanyak 30 hari, diikuti Pulau Langkawi di Kedah sebanyak 27 hari.
"Selain itu, Melaka Tengah di Melaka; Barat Daya, Pulau Pinang dan Kuala Langat di Selangor, masing-masing mencatatkan jumlah hari tanpa hujan sebanyak 23 hari.
"Kota Setar di Kedah pula merekodkan jumlah hari tanpa hujan selama 20 hari," menurut jabatan itu.
METMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa melalui sistem Fire Danger Rating System (FDRS).
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bacaan semasa FDRS boleh melayari portal MET Malaysia.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1502124/enam-kawasan-dikesan-tak-terima-hujan-lebih-7-hari-berturut-turut
|