3 ahli geng 'Kapten Praba' akan dikawal ketat sebaik tiba di Malaysia Tiga penjenayah warga Malaysia kini ditahan di bawah 'pengawasan keselamatan tahap tinggi' di sebuah bilik khas di lapangan terbang di Mumbai, India. - AGENSI
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka memberikan tahap kawalan keselamatan tertinggi sebaik tiga penjenayah warga Malaysia yang ditahan di Mumbai, India, tiba di negara ini.
Setakat ini, ketiga-tiga penjenayah itu dijangka diterbangkan kembali ke tanah air dalam masa terdekat. Sumber berkata, seramai 10 pegawai dan anggota PDRM akan mengiringi ketiga-tiga penjenayah berkenaan sebaik proses ekstradisi terhadap mereka selesai dijalankan.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka pada masa ini ditempatkan di bawah 'pengawasan keselamatan tahap tinggi' di sebuah bilik khas di lapangan terbang akan diserahkan kepada PDRM sebelum dibawa kembali ke tanah air.
"Sekiranya tiada halangan, mereka (tiga penjenayah) dijangka dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun bergantung kepada situasi semasa di Mumbai.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua mereka akan dikawal dengan pengawasan pihak polis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Selepas proses dokumentasi, pihak polis akan membawa mereka ke Mahkamah Majistret Sepang untuk tindakan lanjut," katanya kepada BH hari ini.
Katanya, proses pengawasan tahap tertinggi bakal dibuat adalah memandangkan risiko dan ancaman tertinggi yang berkemungkinan wujud akibat daripada penahanan suspek terbabit yang juga adalah pemimpin kanan kumpulan atau ahli kumpulan Kapten Praba.
Ini kerana selain mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan ahli kumpulan Geng 24, penjenayah yang ditahan ini turut mempunyai musuh yang menyimpan dendam terhadap mereka atas perbuatan jenayah yang dilakukan sebelum ini.
Ketiga-tiga mereka berusia dalam lingkungan 30-an ditahan pada Ahad lalu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) Mumbai, India, selepas diusir dari United Kingdom (UK).
|