Warden rotan pelajar 11 tahun didakwa hari ini
Zuliaty Zulkiffli[email protected]

GAMBAR HIASAN
Kulim: Seorang warden sebuah maahad Tahfiz di Sungai Kob yang disyaki merotan pelajar tahfiz 11 tahun, September lalu bakal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Lelaki berusia 27 tahun itu bakal didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan kejadian yang memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim pada September lalu.
Kejadian berlaku pada 29 September tahun lalu itu membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dan warden maahad tahfiz terbabit yang dipercayai merotan pelajar berkenaan kerana mengganggu pelajar lain yang sedang belajar.
Pelajar berkenaan yang menetap di Padang Serai itu baru masuk ke maahad tahfiz berkenaan kira-kira tujuh bulan ketika itu.
Kejadian itu disedari ibu bapa kanak-kanak terbabit ketika hendak mengambil anak mereka dan mendapati terdapat kesan lebam pada anggota badannya.
Berikutan itu, bapa pelajar itu kemudiannya membuat laporan polis pada 3 Oktober tahun lalu.
Disiarkan pada: Januari 26, 2026 @ 9:11am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1315385/warden-rotan-pelajar-11-tahun-didakwa-hari-ini
|