
Gambar hiasan
KUCHING: Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) kini berdepan situasi bekalan darah kumpulan A dan B semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadap kumpulan darah berkenaan meningkat sejak minggu lepas.
Bank Darah HUS dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasminya berkata situasi itu berlaku kerana banyak kes kecemasan dan kes pesakit kanser yang memerlukan bekalan darah berterusan ketika ini.
"Antara kes yang pihak kami terima ialah pesakit lelaki berumur 50 tahuh yang dimasukkan ke ICU disebabkan pendarahan usus.
"Beliau mengalami pendarahan yang banyak dan memerlukan transfusi 15 beg darah merah, lapan beg plasma, lapan beg platelet dan lapan beg cryoprecipitate untuk menghentikan pendarahan," katanya.
Oleh itu, Bank Darah HUS berharap penderma darah Kumpulan A dan B dapat hadir untuk menderma darah.
Bagi pemilik darah kumpulan AB dan O, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menderma bagi memastikan stok kami pada tahap selamat sebelum bermulanya Tahun Baharu Cina dan bulan puasa (Ramadan).
Penderma pertama dan tidak tahu kumpulan darah mereka boleh datang terus ke pusat jagaan harian Bank Darah.
Pusat jagaan Bank Darah HUS dibuka pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Sumber : Utusan Borneo
|