Jika anda mengikuti perkembangan program Gegar Vaganza saban tahun di Astro, pasti anda mengetahui siapa penaja utama rancangan tersebut kerana terdapat slot bagi mereka untuk mempromosikan produk dalam rancangan tersebut.
Untuk musim kali ini,
Gegar Vaganza 2019 (GV6) menampilkan syarikat susu
Farm Fresh sebagai salah satu penaja utamanya.
Lebih dikenali sebagai
Bos Susu,
Azmi Zainal yang merupakan pegawai operasi syarikat tersebut mengakui enggan terikut-ikut dengan teknik pemasaran yang lebih kepada tular semata-mata, seperti dilakukan penaja lain sebelum ini.
Kredit foto: Google Image
Ketika ditemui
mStar, Azmi mengakui bahawa setiap pengasas produk mempunyai karakter dan cara tersendiri untuk memasarkan produk mereka.
"Namun, produk kami digunakan pelbagai peringkat usia terutamanya kanak-kanak, jadi kami perlu bawa imej yang baik dan tak perlu nak riuh rendah," jelasnya lagi.
Dia juga percaya produk yang berkualiti akan mendapat tempat di hati pengguna, maka teknik pemasaran betul akan membawa imej yang baik terhadap jenama dibawa.
Kredit foto: Google Image
Kredit foto: Instagram Farmfresh_susukurma_shahalam
"Kami amat mementingkan kredibiliti sebab kalau produk itu baik, pasti orang akan terima. Masyarakat juga akan lebih menerima jika penjual menjaja sesuatu dengan lebih bersopan santun dan berbudi bahasa daripada tidak tentu arah.
"Nak viral itu mudah, buat saja perangai tak senonoh untuk viral. Tapi, itu bukanlah cara kami. Dalam bisnes tak boleh harap viral semata-mata, tapi kena fikir macam mana nak kekalkan jenama sehingga mendapat kepercayaan semua orang," Ujarnya kepada mStar.
Netizen juga berpendapat bahawa penaja kali ini lebih tenang jika dibandingkan dengan penaja GV terdahulu iaitu Datuk Seri Aliff Syukri dan DS Vida.
Kredit foto: Astro Gempak
Mengakui dirinya juga menerima tempias populariti dan semakin dikenali, Azmi berkata syarikatnya telah menerima maklum balas positif atas inisiatif mewujudkan segmen
kongsi rezeki di edisi Gegar Vaganza kali ini.
Segmen tersebut telah membantu ramai artis veteran atas nama tanggungjawab sosial syarikat Farm Fresh. Ketika ditanya adakah masih lagi mahu menaja program yang sama pada tahun hadapan, beliau berkata syarikat itu tidak keberatan untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut.
Semoga maju jaya diucapkan kepada Bos Susu dan syarikat Farm Fresh! - CARI