
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. - Gambar Florence Nervyn
SIBU: Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan ke arah sebuah premis bank di Jalan Lanang di sini, hari ini, sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung insiden berkenaan pada jam 3.01 petang.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dipercayai terlibat dalam insiden itu, dengan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api yang dipercayai jenis pistol sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihak polis telah menjumpai satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Zulkipli berkata tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Menurutnya, pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat serta motif sebenar kejadian.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|