Zamri Ibrahim pertahan jawatan Presiden PFA
Oleh Aizat Sharif - Februari 15, 2026 @ 7:07pm

Jawatankuasa PFA bagi penggal 2026-2030. Foto ihsan PFA
KANGAR: Pengamal undang-undang, Zamri Ibrahim sekali lagi mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk kali kedua bagi penggal 2026-2030 apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding dalam Kongres Tahunan PFA ke-29, 30 dan 31 hari ini.
Malah, dalam kongres kali ini juga, harapan untuk menyaksikan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah bertanding merebut jawatan tertinggi dalam persatuan itu seperti yang diumumkan sebelum ini juga tidak menjadi kenyataan apabila Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu tidak menghantar borang pencalonan atas alasan teknikal.
Pemilihan kali ini juga menyaksikan gabungan muka lama dan muka baru dari terutama dari bidang profesional kembali membarisi Jawatankuasa PFA sehingga 2030 akan datang.
Jawatan Timbalan Presiden PFA juga kini disandang Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Noor Amin Ahmad yang juga Naib Pengerusi Kesatuan Ragbi Malaysia dan Timbalan Pengerusi Persatuan Ragbi Perlis di mana beliau menggantikan Dr Abdul Ghafur Hanafi yang dipilih menjadi salah seorang daripada Naib Presiden PFA.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif PFA bagi penggal lalu, Mohd Khomeini Halipah dipilih menjadi salah seorang daripada tiga Naib Presiden PFA bersama seorang lagi muka baharu dalam jawatankuasa iaitu A Puspanathan Ayam Perima.
Bagi Jawatankuasa Eksekutif pula, tiga muka lama dari penggal terdahulu kekal menganggotai barisan jawatankuasa itu kali ini manakala tujuh muka baru diangkat mewakili jawatankuasa itu.
Zamri berkata, gabungan muka lama dan baharu terutama dari golongan profesional bagi penggal baharu ini memperlihatkan kematangan ahli gabungan dalam memilih wakil yang mampu membawa PFA mencorakkan bola sepak negeri itu agar terus disegani setanding dengan negeri lain.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada wakil jawatankuasa terdahulu atas khidmat mereka serta dedikasi dan komitmen mereka yang tidak mengenal masa dalam memartabatkan bola sepak Perlis ke persada yang lebih tinggi.
"Malah, kombinasi muka baru dan lama ini juga diharapkan dapat membawa bola sepak Perlis lebih progresif dan positif kepada negeri ini dan ini juga menunjukkan bahawa PFA masih lagi dihormati dan diberi kepercayaan menerajui pembangunan bola sepak negeri," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2026/02/1509993/zamri-ibrahim-pertahan-jawatan-presiden-pfa
|