
Juh Sungkei di BCCK yang akan berlangsung dari 20 Februari hingga 18 Mac 2026.
KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) mengumumkan kembalinya pengalaman bufet Ramadan istimewa Juh Sungkei di BCCK yang akan berlangsung dari 20 Februari hingga 18 Mac 2026, setiap hari bermula jam 6 petang hingga 10 malam.
Diiktiraf sebagai antara sajian berbuka puasa paling dinanti-nantikan di Kuching, Juh Sungkei di BCCK menawarkan suasana selesa dan mesra untuk keluarga, rakan atau rakan sekerja berkumpul sambil menikmati hidangan berinspirasikan tradisi tempatan dan cita rasa kegemaran ramai.
Tahun ini, bufet menampilkan lebih 70 jenis hidangan yang mengetengahkan kepelbagaian rasa Sarawak.
Antaranya Kambing Bakar Seekor, Itik Panggang Bersup, Ayam Masala, Ikan Talapia Goreng Bersos Mangga, Ayam Varuval Masak Madu, Briyani Kambing dan Nasi Minyak Berkismis.
Turut disajikan pilihan popular seperti Sate Ayam dan Daging serta Kari Kepala Ikan Salmon Cina.
Lebih menarik, beberapa hidangan baharu diperkenalkan pada musim ini seperti Cucur Tiram Cina dan Ayam Goreng Korea menambahkan lagi variasi kepada pilihan sedia ada.
Stesen masakan secara langsung turut memeriahkan suasana dengan sajian seperti Piza Margherita buatan sendiri, Pasta Smoked Duck Carbonara, Kolo Mee Pok bersama ayam cincang serta Laksa Sarawak istimewa BCCK.
Bagi pencinta manisan, pelbagai pilihan pencuci mulut disediakan termasuk aneka puding, tartlet dan kek, Bubur Sago Mutiara, Ais Kacang, Leche Caramel Flan serta sudut gula-gula kapas, selain hidangan tempatan yang membangkitkan nostalgia masakan di rumah.
Menurut Cef Eksekutif BCCK Cef Tawfeeq Seow, Juh Sungkei di BCCK sentiasa dekat di hati pasukan kulinari pusat konvensyen itu.
“Pasukan kami mereka menu yang menampilkan cita rasa Ramadan yang biasa dinikmati, sambil memastikan kualiti, kepelbagaian dan konsistensi sepanjang musim. Setiap hidangan disediakan dengan penuh teliti bagi memastikan pengalaman sungkei yang memuaskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi BCCK Rayner Simon berkata, Juh Sungkei di BCCK telah menjadi tradisi Ramadan yang bermakna bagi ramai warga Kuching dan kawasan sekitarnya.
“Kami memberi penekanan kepada pengalaman menjamu selera yang selesa dan tersusun supaya para tetamu dapat berkumpul, mengeratkan hubungan serta menikmati hidangan dalam suasana yang mesra,” ujarnya.
Bagi kemudahan dan nilai lebih baik, orang ramai digalakkan membuat tempahan secara dalam talian.
“Juh Sungkei di BCCK ditawarkan dengan harga dinamik, di mana tempahan lebih awal menikmati kadar lebih rendah, tertakluk kepada ketersediaan dan tarikh terpilih,” tambahnya.
Tempat duduk adalah terhad dan tarikh puncak dijangka cepat penuh. Tempahan boleh dibuat melalui laman sesawang www.bcck.org.my/promotions , manakala pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi talian 082-392 889.
Pelanggan korporat boleh memilih baucar tarikh terbuka atau tarikh tetap bagi tujuan meraikan kakitangan dan pelanggan sepanjang Ramadan.
Baucar tarikh terbuka ditawarkan pada harga RM130 bersih (dewasa) dan RM65 bersih (kanak-kanak 5 hingga 12 tahun).
Baucar tarikh tetap pula berharga RM105 bersih (dewasa) dan RM60 bersih (kanak-kanak 5 hingga 12 tahun).
BCCK merupakan pusat konvensyen yang diperakui Halal oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta memiliki pensijilan ISO 22000:2005 Food Management Systems dan MS 1480:2007 HACCP.
Turut menyediakan kemudahan parkir yang luas dan ruang makan yang selesa turut disediakan, selain surau di Aras 1 untuk kemudahan tetamu menunaikan solat Maghrib.
Sumber : Utusan Borneo
|