Edited by Vellfire at 13-2-2026 11:07 PM

Dr Kharuddin (tengah) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku 2026 terbitan UTS Publisher, hari ini.
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melalui UTS Publisher telah mengambil pendekatan yang mesra dan inovatif untuk membantu lebih ramai pensyarah menjadi penulis, sekaligus membolehkan mereka berkongsi pelbagai ilmu kepada orang ramai melalui penulisan buku.
Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Emeritus Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, ramai pada hari ini tidak lagi berminat untuk menulis dan ramai lagi terlalu bergantung kepada maklumat digital yang mudah diperoleh di Internet.
"Ramai juga menggunakan AI secara meluas tanpa berfikir, jadi saya amat gembira melihat staf kita masih aktif menulis buku.
"Itulah sebenarnya tujuan sesebuah universiti kerana dengan menulis, kita memaksa diri untuk berfikir.
"Apabila orang tidak menulis, sebenarnya mereka kurang berfikir.
"Sebab itu saya masih percaya bahawa kita perlu memupuk budaya berfikir melalui penulisan dan juga menulis dengan pemikiran yang mendalam," ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 2026 UTS Publisher di UTS, hari ini.
Menurut Dr Khairuddin, walaupun AI penting namun kita tidak boleh terlalu bergantung kepada AI untuk berfikir dan melakukan semua perkara.
Melalui penulisan buku seperti 11 buku yang dilancarkan hari ini, beliau yakin para penulis telah melalui proses pemikiran dan perancangan yang panjang, terutama dalam menghasilkan idea, kandungan, gaya penulisan dan cara menyampaikan mesej serta ilmu kepada pembaca.

Dr Khairuddin (dua kanan) menyerahkan buku terbitan UTS Publisher kepada Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Sait Enggang sambil diperhatikan yang lain.
"AI tidak akan melakukan semua itu untuk kita, maka bagi saya ini masih merupakan elemen yang sangat penting dalam budaya universiti.
"Sebab itu saya berpendapat tugas universiti sangat penting iaitu mengekalkan budaya menulis dalam kalangan warganya.
"Jika kita berhenti menulis, bermakna kita berhenti berfikir dan jika kita berhenti berfikir, kita tidak akan dapat mengajar pelajar dengan ilmu yang betul dan tepat," jelasnya.
Menyentuh mengenai 11 buku baharu terbitan UTS Publisher itu, Dr Khairuddin berkata, buku terbabit amat unik kerana menampikan kandungan buku yang pelbagai.
"Walaupun kita sebuah universiti teknikal, kita tidak menghalang warga kita daripada menghasilkan karya kreatif.
"Kita mempunyai penyelidikan saintifik yang mendalam di samping kisah budaya dan karya kreatif.
"Sama ada minat anda dalam bidang kejuruteraan dan teknikal, ataupun dalam keindahan penulisan kreatif, semuanya ada dalam rak buku kita.
"Inilah kekuatan staf kita," katanya sambil memberitahu kebanyakan buku tersebut dalam Bahasa Inggeris.
Antara buku yang dilancarkan berjudul 'Chemistry Laboratory Manual', 'Food Analysis 1', 'Whispering Pages', 'Youthful Vision', 'Sarawak Indigenous Resources', 'Halal Food', 'Kenaf Seed Milk', 'Natural Fiber Composite', 'Transformers' dan 'Terendak'.
Sumber : Utusan Borneo
|