
SARATOK: Mahkamah Majistret Sri Aman mengenakan hukuman denda RM12,000 atau penjara 15 bulan ke atas seorang wanita yang disabitkan bersalah atas tuduhan mendera anak angkatnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dalam kejadian awal bulan ini.
Dalam perbicaraan tersebut, tertuduh yang berusia 47 tahun telah mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Kejadian dipercayai berlaku pada 5 Februari lalu, jam 6 petang di sebuah rumah di Taman Indah, Saratok.
Dalam kejadian tersebut, tertuduh didakwa memukul anak angkat itu dengan hos plastik.
Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, juga hukuman tambahan yang difikirkan perlu oleh mahkamah sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 31 (2), Seksyen 31(3) dan Seksyen 31 (3A) Akta yang sama.
Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin mendengarkan kes dalam pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Chrissie Ngiron Mijun.
Tertuduh yang dibenarkan bebas setelah membayar denda tersebut, kemudiannya turut diarah menjalani hukuman khidmat masyarakat 36 jam dalam tempoh 6 bulan serta dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun berserta seorang penjamin dengan cagaran RM5,000 tanpa deposit.
Sumber : Utusan Borneo
|