Tasek Gelugor: Ratusan penduduk di taman dan kampung sekitar Tasek Gelugor, di sini mengadakan himpunan aman bagi membantah penternakan babi di Kampung Selamat yang didakwa menyebabkan pencemaran di Sungai Kereh.
Penternakan lebih 40 tahun itu bukan sahaja menjejaskan tanaman padi malah mengundang pencemaran bau sekitar kawasan terbabit.
Penduduk, Azmi Ahmad, 48, berkata dia sudah lama menyewa di Sungai Dua dan mengambil keputusan membeli dan menginap di Taman Sepadu Jaya sejak tiga tahun lalu.
Namun katanya, dia kini berdepan dengan masalah pencemaran bau dari najis babi yang dilepaskan dan melalui kawasan parit berdekatan kawasan taman perumahannya.
"Masa beli rumah ini memang tidak tahu dan menyangka tidak kena.
Memang kecewa tetapi tak kan nak jual rumah ini pula dan ada ke yang mahu beli?
"Bayangkan mahu buka pintu semua tak boleh sebab bau akan masuk semerbak.
Jadi selaku penduduk kami mahu selesai secara harmoni.
Tidak mahu salahkan sesiapa hanya mahu ia selesai cepat," katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, sebanyak 11 memorandum daripada wakil penduduk terbabit dihantar kepada wakil rakyat masing-masing untuk dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.
Antara intipati memorandum itu adalah mengambil tindakan tegas terhadap krisis pencemaran kronik Sungai Kreh yang berlarutan lebih 40 tahun dan memberi kesan langsung kepada kesihatan awam, ekonomi pesawah serta kesejahteraan sosial penduduk setempat.
Mereka juga menuntut supaya kerajaan mempertimbangkan penutupan ladang penternakan babi yang didakwa menjadi punca utama pencemaran.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Hisham Md Jusoh, 48, berkata dia malu apabila saudara yang bertandang ke rumahnya di Taman Sepadu, bertanyakan tentang bau busuk itu.
"Saya sampai menipu mereka kata bau busuk itu datang dari ternakan ayam sebaliknya ia babi.
Memang naik segan (malu) apabila ramai (saudara mara dan kawan-kawan) datang ke rumah akan tegur bau busuk yang dihidu mereka.
"Itu yang kebanyakan penduduk tak buka pintu dengan tingkap rumah langsung.
Saya duduk di sini dekat 16 tahun dan sampai bila kami nak hadap macam ini," katanya yang memaklumkan kira-kira lebih 5,000 penduduk sekitar kawasan itu terjejas dengan masalah berkenaan.
Difahamkan, terdapat 63 ladang ternakan babi di Kampung Selamat dengan membabitkan 61,554 babi.