
Infografik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 28 tempat dilarang merokok.
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku bersalah menghisap vape di kedai makan.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 16(2), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Seksyen 16(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000.
Di mahkamah sama, turut didenda RM1,000 atau sebulan penjara selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen sama akibat merokok di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ialah dua orang lelaki berusia 25 tahun.
Berdasarkan fakta kes, Pasukan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching melakukan Ops Rokok di sekitar kawasan Kuching pada Jun 2025 sebelum menemui tertuduh-tertuduh merokok di kawasan larangan.
Kesemua tertuduh seterusnya diberikan notis kesalahan dan diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikan kompaun di mana-mana Pejabat Kesihatan.
Mereka bagaimanapun gagal berbuat demikian sehingga tamat tempoh terbabit, menyebabkan kes dibawa ke mahkamah.
Semasa prosiding kes, Pegawai Pendakwa Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching Mohd Fairos Ibrahim memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap kesemua tertuduh.
Tegas beliau, ia penting sebagai peringatan kepada tertuduh dan orang awam agar lebih peka terhadap kawasan larangan merokok yang telah lama diwartakan.
Selain itu, ia juga sebagai memberi pengajaran kepada masyarakat agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi kesihatan orang awam.
|