
YONG
KOTA KINABALU: Perkembangan terkini serta laporan bercanggah berhubung penandaan sempadan darat Malaysia–Indonesia berhampiran Sabah kini melangkaui isu teknikal dan menyentuh kepentingan perlembagaan yang serius.
Peguam Yong Yit Jee berkata, kenyataan Kerajaan Persekutuan bahawa tiada penyerahan, pemindahan atau pertukaran wilayah berlaku perlu disokong dengan bukti dokumentasi, bukan sekadar jaminan lisan.
Menurutnya, kerajaan menjelaskan proses berkenaan hanya melibatkan penandaan sempadan secara teknikal selaras undang-undang antarabangsa.
“Namun, pada masa sama, laporan dari Indonesia merujuk kepada kampung, kawalan pentadbiran serta angka keluasan tanah tertentu yang dikaitkan dengan proses sama.
“Dua naratif berbeza itu tidak boleh wujud serentak tanpa menimbulkan percanggahan undang-undang.
“Apabila wujud dua naratif awam yang berbeza secara material, jaminan semata-mata tidak lagi mencukupi. Apa yang diperlukan ialah bukti dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Beliau berkata, Sabah bukan negeri pinggiran, sebaliknya rakan pengasas Persekutuan Malaysia dengan kedudukan dilindungi Perlembagaan Persekutuan. “Sebarang proses yang menyentuh sempadan darat atau maritim negeri melibatkan perlindungan perlembagaan pada tahap tertinggi.
“Isu sempadan membabitkan Sabah bukan urusan pentadbiran biasa yang boleh diselesaikan secara tertutup atau dijelaskan secara retrospektif.
“Sekiranya benar tiada perubahan wilayah, kita menggesa Kerajaan Persekutuan meletakkan di rekod awam asas perundangan dan teknikal sepenuhnya,” katanya.
Katanya, antara dokumen yang perlu didedahkan termasuk Memorandum Persefahaman bertarikh 18 Februari 2025, peta rasmi ukur bersama dan koordinat sempadan serta rekod yang menunjukkan sempadan Sabah kekal tidak berubah.
Menurutnya, tanpa pendedahan itu, dakwaan bahawa proses berkenaan bersifat teknikal semata-mata masih belum dapat disahkan.
Beliau turut mengingatkan pengalaman ketidakjelasan sempadan sebelum ini, termasuk di kawasan Ambalat, yang mencetuskan pertikaian antarabangsa berpanjangan.
Katanya, ketidaktentuan teknikal tanpa penjelasan berpotensi berkembang menjadi isu diplomatik dengan kesan kekal kepada kedaulatan.
Yong berkata, Perkara 2 dan 161E Perlembagaan Persekutuan diwujudkan khusus bagi menghalang pelarasan sempadan Sabah tanpa pematuhan perlembagaan yang jelas serta tanpa persetujuan nyata negeri.
Menurutnya, penyertaan wakil Sabah dalam perbincangan tidak bersamaan dengan persetujuan rasmi.
“Persetujuan mesti bersifat formal, didokumenkan dan bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri Sabah. Kebisuan tidak boleh dianggap sebagai persetujuan, dan bahasa teknikal tidak boleh mengatasi had perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, sempadan Sabah bukan margin rundingan kerana ia menentukan hak, identiti serta kedudukan negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Sehubungan itu katanya, sebarang proses yang menjejaskan sempadan perlu tahan uji dari segi perlembagaan, ketelusan awam dan kebertanggungjawaban undang-undang.
“Sehingga dokumentasi penuh didedahkan, isu ini kekal belum diselesaikan dari sudut perlembagaan. Sabah memerlukan kejelasan berasaskan undang-undang, bukan sekadar jaminan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|