RASMI: Raisin menyempurnakan simbolik perasmian pejabat baharu KGKS.
KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) membuka lembaran baharu apabila memulakan operasi di pejabat baharu yang lebih strategik di Alamesra, Likas, sekali gus menjadi simbol kemajuan serta semangat ‘misompuru’ dalam kalangan ahlinya.
Perasmian pejabat itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dalam satu majlis ringkas yang dihadiri barisan kepimpinan kesatuan serta wakil guru dari seluruh negeri.
Turut hadir, Presiden KGKS, Murkam Hussien bersama ahli jawatankuasa tertinggi kesatuan.
Murkam berkata, pemilihan lokasi Alamesra memberi kemudahan akses kepada ahli selain menyediakan ruang operasi lebih selesa dan teratur untuk pengurusan pentadbiran.
“Pejabat baharu berkenaan membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada guru, khususnya membabitkan urusan kebajikan, khidmat nasihat serta program pembangunan profesional.
“Kemudahan lebih kondusif turut menyokong penganjuran mesyuarat, sesi libat urus dan latihan untuk ahli secara berkala,” katanya.
Sementara itu, Raisin menyambut baik inisiatif KGKS memperluas operasi melalui pembukaan pejabat baharu berkenaan.
Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kesatuan dalam memperjuangkan kebajikan dan hak warga pendidik di Sabah.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan serta ahli KGKS atas pencapaian ini. Saya harap kesatuan terus maju, kukuh dan dihormati,” katanya.
Menurutnya, peranan aktif KGKS banyak membantu guru, terutama dalam aspek kebajikan dan sokongan ketika berdepan cabaran kerjaya.
Beliau turut menghargai usaha kesatuan memperkenalkan produk perlindungan insurans untuk ahli sebagai nilai tambah kepada keahlian.
Katanya, kemudahan perlindungan itu membantu guru mendapatkan sokongan kewangan dan perubatan ketika memerlukan.
Dalam masa sama, pembukaan pejabat baharu dilihat mampu menjadi pusat sehenti kepada ahli bagi mendapatkan maklumat, khidmat rundingan serta bantuan berkaitan perkhidmatan.
Konsep ‘misompuru’ yang membawa maksud kebersamaan dan semangat kekitaan terus menjadi teras perjuangan KGKS dalam menyatukan warga pendidik di seluruh negeri.
Ahli kesatuan juga optimis kemudahan baharu itu mengukuhkan lagi jaringan komunikasi antara kepimpinan dan guru di peringkat akar umbi.
Dengan penambahbaikan infrastruktur dan pengurusan lebih sistematik, KGKS menyasarkan penyampaian perkhidmatan lebih cekap demi manfaat ribuan ahli di Sabah.