
MOHD YAAKOB
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menyalurkan rebat 2.5 peratus kepada 661,774 pelanggan sebagai pulangan faedah deposit tunai pengguna, sekali gus melibatkan agihan berjumlah RM10.4 juta bermula Januari 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, rebat berkenaan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar di Sabah dan Labuan tanpa memerlukan sebarang permohonan.
“Langkah ini memberi kelegaan kewangan kepada isi rumah serta perniagaan kecil selain membantu mengurangkan komitmen bayaran utiliti bulanan.
“Pemberian rebat dibuat setiap tahun selaras peruntukan undang-undang bekalan elektrik dan pembayaran faedah 2.5 peratus terhadap deposit tunai pelanggan diwajibkan mengikut Electricity Supply Enactment 2024 serta Licensee Supply Regulations 2024 Regulation (5)(1).
“Rebat ini memberi pulangan langsung kepada pengguna kerana wang cagaran yang disimpan dengan syarikat turut menjana faedah tahunan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, keseluruhan amaun RM10.4 juta diagihkan secara berperingkat supaya semua pelanggan layak menerima manfaat sama rata.
Menurutnya, wang cagaran pengguna dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata enam bulan terakhir.
“Semakan jumlah cagaran dibuat setiap enam bulan bagi memastikan nilai deposit kekal selaras dengan corak penggunaan semasa.
“Jika penggunaan meningkat, pelarasan dibuat mengikut keperluan, manakala lebihan boleh dipulangkan kepada pelanggan melalui rebat dalam bil elektrik atas permintaan.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen syarikat menyeimbangkan keperluan operasi dengan kebajikan pengguna, khususnya ketika kos sara hidup terus meningkat,” katanyaz
Dalam masa sama katanya, Sabah Electricity menggalakkan orang ramai mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran.
“Pengguna turut disaran memanfaatkan portal serta aplikasi rasmi Sabah Electricity untuk memantau penggunaan elektrik, menyemak bil dan mengurus akaun dengan lebih cekap.
“Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat di pejabat Sabah Electricity berhampiran atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000.
“Aplikasi mudah alih syarikat turut menyediakan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan, notifikasi gangguan bekalan serta pelbagai kemudahan digital bagi memudahkan urusan pelanggan di seluruh negeri,” katanya.
|