
BINCANG: Joachim bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan pada mesyuarat itu.
KOTA KINABALU: Daerah Papar dipilih sebagai tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, pada 1 Mei 2026.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Pertama Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Bilik Mesyuarat KKRU Sabah, hari ini.
Mesyuarat bertujuan membincangkan persiapan dan perancangan awal bagi acara tahunan terbesar itu, yang disambut sepanjang bulan Mei.
Turut hadir Pembantu Menteri, Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun, Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip, pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan, serta ahli jawatankuasa penganjur lain.
Joachim berkata, Perayaan Kaamatan menjadi platform penting untuk memelihara warisan budaya Sabah serta mengukuhkan perpaduan dan semangat komuniti seluruh negeri.
Menurutnya, perayaan Kaamatan menekankan semangat perpaduan serta usaha menjaga budaya dan adat resam warisan turun-temurun masyarakat Sabah.
Katanya, Kaamatan bukan sahaja menjadi medan meraikan hasil tuaian, tetapi juga simbol keharmonian dan kekayaan budaya masyarakat Sabah yang sentiasa dipertahankan daripada generasi ke generasi.
Sumber : Utusan Borneo
|