
Gambar semasa operasi tersebut dijalankan. - Gambar Tentera Darat
KUCHING: Tentera Darat Malaysia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM517,200 ke negara jiran selepas memintas sebuah lori di Sektor Serikin, Bau dekat sini, pada Selasa.
Menurut Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 pagi.
Katanya, anggota yang sedang melaksanakan operasi kawalan sempadan mengesan sebuah lori bergerak dalam keadaan mencurigakan melalui satu laluan haram dari arah Kampung Sebobok menghala ke sempadan antarabangsa.
“Pasukan kami bertindak pantas mengepung laluan berkenaan dan menahan lori tersebut beberapa kilometer sebelum mencecah garis sempadan, sekali gus menggagalkan cubaan sindiket meloloskan muatan keluar dari negara ini,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemui sebanyak 12,180 karton rokok pelbagai jenama.
Gambar semasa operasi tersebut dijalankan. - Gambar Tentera Darat
“Rokok-rokok ini disembunyikan di bawah kanvas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM517,200, selain lori turut disita.
“Pemandu lori, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun, juga ditahan di lokasi kejadian dan diserahkan bersama barang rampasan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Difahamkan, kawalan keselamatan di Sektor Serikin dan Bau kini berada pada tahap maksimum.
“Tentera Darat mempunyai keupayaan untuk mengesan serta mematahkan sebarang pergerakan cubaan masuk atau keluar di kawasan sempadan,” tegasnya.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laluan haram sempadan demi keselamatan bersama.
Sumber : Utusan Borneo
|